Setiap kali saya ke masjid untuk solat berjemaah, hati saya terasa tenang melihat ramai jemaah datang awal dan berebut-rebut untuk berada di saf hadapan.
Alhamdulillah, suasana seperti itu mengingatkan saya kepada hadis Rasulullah SAW yang menjanjikan ganjaran besar bagi mereka yang berada di saf pertama.
Ia melambangkan kesungguhan dan kecintaan terhadap ibadah.
Namun, di sebalik keindahan itu, ada sesuatu yang sering mencalar rasa iaitu keadaan tandas masjid yang kotor dan tidak terurus.
Saya tidak tahu di mana silapnya.

Dalam satu masa, kita mampu tampil kemas dan berbau harum ketika ke masjid, namun meninggalkan tempat wuduk dan tandas dalam keadaan seolah-olah bukan rumah ibadah.
Kadang-kadang lantai digenangi air, paip tidak ditutup dengan betul, sisa tisu bersepah di lantai dan ada yang lebih teruk, kesan kotoran dibiarkan tanpa rasa bersalah.
Malah ada yang beranggapan, tandas masjid sama sahaja seperti tandas awam.
Tandas masjid merupakan sebahagian daripada imej rumah ibadah yang perlu dijaga dengan rapi dan sentiasa bersih.
Kebersihan tandas mencerminkan tahap keprihatinan dan disiplin jemaah terhadap penjagaan masjid secara keseluruhan.
Tandas yang bersih bukan sahaja memberikan keselesaan kepada jemaah, tetapi juga memastikan kesucian tempat ibadah terpelihara daripada sebarang kekotoran atau bau yang tidak menyenangkan.
Oleh itu, tanggungjawab menjaga kebersihan tandas masjid bukan hanya terletak di bahu pengurusan masjid semata-mata, tetapi juga para jemaah yang menggunakannya agar maruah dan imej masjid terus terpelihara.
Bukankah masjid itu rumah Allah yang suci? Bukankah kebersihan itu sebahagian daripada iman?
Kita selalu menuntut agar masjid indah, selesa dan berhawa dingin, namun amat jarang yang benar-benar menjaga kebersihan di sekitarnya.
Sedangkan Islam mengajar bahawa kebersihan bukan sekadar tanggungjawab, ia melambangkan cerminan akhlak dan keimanan.
Jemaah Prihatin
