DIADAPTASI dari novel karya Acik Lana, Red Velvet merupakan sebuah drama terbaru yang ditayangkan di slot MegaDrama di Astro Ria.
Drama arahan Hadith Omar itu dibintangi oleh Alif Satar dan Neelofa sebagai pelakon utama dan turut dibantu oleh beberapa pelakon lain seperti Hafidz Roshdi, Amira Othman, Nina Nadira, Sharifah Shahora, Alif Hadi, Hani Nazrina, Nasz Sally, Qara Lyana, Nadya Syahera dan Fatin Afeefa.
Pada dasarnya ia mengisahkan mengenai Helena lakonan Neelofa yang tidak mempedulikan mengenai tohmahan mahupun kata-kata nista dari orang sekeliling bila dia ingin berkahwin dengan Fareeq lakonan Hafidz Roshdi yang merupakan suami orang, isteri kepada Suhaila lakonan Amira Othman.
Perhubungan mereka dapat dihidu oleh Dato Fauzan lalu mencadangkan Helena dihantar ke luar negara untuk menyambung pelajaran.
Helena yang enggan, nekad melarikan diri dan merancang berkahwin dengan Fareeq. Malangnya, Fareeq tidak menepati janjinya yang menyebabkan Helena kecewa setengah mati.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M18-B_041117.jpg)
Dalam mengharungi kehidupannya yang huru-hara, Helena bertemu dengan Izzat lakonan Alif Satar yang sinis, ego, berlagak tak bertempat.
Semua ini menambahkan kekusutan di kepala Helena. Pembakar roti kacak yang bekerja di sebuah kedai roti lama itu sentiasa mencari pasal dengan Helena.
Ada sahaja yang tidak kena di matanya. Dan keadaan semakin tegang apabila keadaan memaksa Helena bekerja dengan Izzat di kedai roti yang sama.
Hinggalah, hati mereka bertaut dengan kasih. Namun, rahsia Helena terbongkar sewaktu mereka berdua asyik menyulam cinta. Bagaimana, bila lelaki yang sangat benci terhadap sikap wanita yang kerap bertelagah dan kepala bertemu serta bercinta pula dengan wanita yang memiliki ciri tersebut.
Lalu apakah kesudahan kisah dalam siri drama ini dan untuk mengetahuinya jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Red Velvet yang menerapkan unsur komedi dan romantik yang ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 10 malam di saluran Astro Ria 104 dan Ria HD 123 sehingga ke penghujungnya.