Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebocoran saluran paip utama punca gangguan air di Pulau Pangkor – Exco

    IPOH, 13 FEB – Kebocoran satu daripada tiga saluran paip utama rentas dasar laut disyaki antara punca gangguan bekalan air yang berlaku di Pulau Pangkor ketika ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

    Beliau berkata buat masa ini proses pengesanan kebocoran pada saluran paip sepanjang 3.5 kilometer dari jeti Lumut ke Pulau Pangkor itu sedang dilakukan operator dilantik Lembaga Air Perak (LAP).

    “Untuk makluman, terdapat kejadian kebocoran pada satu daripada saluran paip utama berukuran 600 milimiter (mm), 350mm dan 300mm dan telah dibaiki pada 5 Februari lepas.

    “Namun, daripada pemantauan dan analisis selepas kerja pembaikan mendapati, tekanan masih tak kembali ke paras normal. Usaha menyalurkan bekalan tambahan ke Pulau Pangkor masih tidak menyelesaikan isu,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

    Semalam, Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pangkor Fauzan Azhar ketika ditemui Bernama di Pantai Teluk Nipah menjelaskan masalah gangguan air yang berlaku di Pulau Pangkor berlaku sejak 8 Februari lepas.

    Fauzan memaklumkan punca utama gangguan itu disebabkan pertambahan bilangan pelancong ke pulau peranginan itu khususnya menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.

    Mohammad Nizar berkata sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, LAP telah menggerakkan enam lori tangki bagi memastikan pengagihan bekalan air di pulau bebas cukai itu berjalan lancar. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda