Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Pendidikan
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Pandemik COVID-19 telah mengganggu struktur sistem pendidikan di seluruh dunia, walau bagaimanapun daya tahan dan kebolehsuaian telah memastikan bahawa pengajaran dan pembelajaran diteruskan di Negara Brunei Darussalam yang berhasrat ke arah pembelajaran pemulihan berkesan serta perkhidmatan komprehensif untuk membantu memulihkan defisit pembelajaran dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan pelajar.
Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan kebangsaan yang disampaikan oleh Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir, Pengiran Ahmad Munir @ Pengiran Abdul Aziim bin Pengiran Haji Nordin bagi pihak Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman selaku pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bagi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ICESCO) pada Persidangan Agung ICESCO ke-14 yang berlangsung di St Regis Hotel di Kaherah, Republik Arab Mesir pada 8 dan 9 Disember.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini, Pengiran Ahmad Munir turut berkongsi pelaksanaan Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan dalam usaha menjadikan pembelajaran digital sebagai norma baharu dalam sistem pendidikan dengan penekanan kepada teknologi pendidikan, teknologi pengurusan dan dasar pemboleh dan infrastruktur.
Sementara itu, berkenaan dengan tema ICESCO untuk 2021 iaitu Tahun Wanita, beliau berkongsi bahawa Negara Brunei Darussalam baru-baru ini menduduki tempat kedua dalam Pendidikan dan Kesihatan dalam Laporan 2021 Asia-Pacific Girls Report: Voice, Choice and Power yang menjelaskan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam memperkasakan daya tahan wanita muda sebagai ejen perubahan ke arah pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.
Kenyataan disampaikan oleh ketua-ketua delegasi anggota ICESO sebagai sebahagian daripada agenda persidangan agung berkenaan.
Kenyataan kebangsaan itu diakhiri dengan jaminan komitmen Negara Brunei Darussalam terhadap sumbangan konstruktif berterusan ICESCO terhadap dunia Islam dan pembangunan tamadun manusia dalam mencapai kerjasama, perpaduan, kemajuan dan kemakmuran.
Kenyataan menyatakan bahawa Pengiran Ahmad Munir turut menghadiri Majlis Eksekutif ICESCO ke-42 yang diadakan di tempat yang sama pada 6 Disember bagi pihak setiausaha tetap (Pengajian Tinggi) selaku setiausaha agung Suruhanjaya Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bagi ICESCO dan diiringi oleh pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir.
Persidangan agung yang dirasmikan oleh Presiden Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Abdel Fattah Al-Sisi itu diadakan tiga tahun sekali, dihadiri oleh wakil-wakil daripada 49 daripada 51 negara ahli anggota ICESCO yang antara lain bertujuan untuk membincangkan dan mengkaji semula dasar-dasar, aktiviti-aktiviti dan cadangan-cadangan di bawah ICESCO dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan.