Di pesisir laut Tuaran, di tengah-tengah gulungan ombak yang mara perlahan ke pantai, Sulaiman Amat, 46, seorang nelayan tradisional dari Kampung Laya-Laya di Tuaran, Sabah , gigih mencari hasil laut saban hari demi menyara keluarganya.
Namun, dunia di pantai barat Sabah yang dikenalinya sejak kecil itu semakin berubah.
“Dulu kerang, ketam, ikan semuanya banyak di depan mata, Sekali turun ke laut, lebih RM100 tidak lari (terjamin). Tetapi sekarang laut ini amat berbeza. Mahu dapat RM100 pun susah,” kongsi Sulaiman.
Tuaran yang terletak 34 kilometer di utara Kota Kinabalu dikenali dengan hasil laut yang melimpah-ruah, namun sejak tahun-tahun belakangan ini pendapatan nelayan pantai khususnya, kian terjejas dek tangkapan semakin berkurang.
Keadaan itu Sulaiman berlayar lebih jauh ke tengah laut, bererti cabaran besar kepada nelayan tradisional sepertinya yang mempunyai kekangan peralatan menangkap ikan.
FENOMENA GLOBAL
Fenomena kemerosotan sumber marin ini bukan unik kepada perairan Sabah semata-mata, tetapi isu global yang menghantui komuniti nelayan seluruh dunia.
Tanpa pendekatan mampan, hasil laut terus berkurangan dan nelayan tradisional seperti Sulaiman akan terus terpinggir dan kekal dalam kitaran kemiskinan.
Bagaimanapun, Sabah memiliki potensi ekonomi biru tiada tandingan, dengan sektor perikanan mampu menghasilkan 491,000 tan metrik hasil laut bernilai RM3.5 bilion setiap tahun, menurut Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

KEBUN KERANG
Satu daripada inisiatif itu ialah Projek Kebun Kerang Sabah yang bukan sekadar memperkenalkan kaedah akuakultur moden, tetapi membuka peluang baharu buat nelayan tradisional untuk beralih kepada penternakan kerang secara sistematik dan mampan.
Melalui kaedah penternakan kerang secara terkawal, tekanan terhadap stok kerang liar dapat dikurangkan selain kerang dihasilkan pula lebih berkualiti, sekali gus mewujudkan situasi menang-menang kepada penduduk sambil mengekalkan kelestarian sumber marin untuk generasi akan datang.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Datuk Seri Hashim Paijan menjelaskan kaedah konvensional menuai kerang liar secara berlebihan boleh menyebabkan spesies kerang darah atau Tegillarca granosa berdepan kepupusan.
“Kalau kita biarkan kerang hidup liar dan orang menuai secara biasa, lama-kelamaan kerang ini akan berkurangan dan seterusnya menjejaskan bekalan kerang serta hidup nelayan kita. Jadi, kita gabungkan semua kepakaran untuk hasilkan benih kerang bermutu, kemudian ternak kerang itu tanpa bergantung pada sumber liar. Kaedah ini memastikan kerang dapat dipelihara secara mampan dan berterusan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Justeru, Hashim bertekad untuk membawa projek tersebut ke Negeri di Bawah Bayu menerusi projek rintis Kebun Kerang Sabah di Tuaran dan Beluran, masing-masing dengan 12 dan 65 lot kawasan penternakan.
KERANG TEMPATAN
Bagi menjayakan projek tersebut, teknologi pembenihan aruhan kerang yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Pulau Sayak dibawa ke Sabah.
Menurut Ketua Unit Moluska institut itu, Dr Hadzley Harith, Borneo mempunyai keunikan fauna tersendiri, justeru menggunakan benih kerang dari tapak projek berjaya seperti Kebun Kerang Lekir bukan satu langkah berkesan.
Sebaliknya kata beliau, pasukannya mencari benih kerang terbaik di Sabah agar serasi dengan persekitaran tempatan, khususnya dari segi plankton dan arus laut.
“Kita menggunakan spesies tempatan, maksudnya kerang yang ada di Sabah. Kita temukan kerang ini di Tawau, spesies yang sama dan kita akan lakukan pembenihan di sini (Tuaran) menggunakan teknologi pembenihan,” jelas beliau yang bertanggungjawab menghasilkan teknologi pembenihan aruhan kerang itu bersama-sama dengan pasukannya.
Mereka juga menggunakan kaedah saintifik bagi memastikan induk kerang tidak terjejas semasa dalam perjalanan dari Tawau yang memakan masa 10 jam.
“Kerang tersebut tiba dalam keadaan segar dan setelah dimasukkan ke dalam tangki dengan lumpur dan air (laut) Tuaran, kerang-kerang itu hidup, terbuka mulut dan bergerak, menunjukkan ia telah mula menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
“Bila kita faham ciri-ciri atau habitat kerang itu sendiri, kita boleh cari di mana lokasi yang tepat dan boleh membangunkan kebun kerang yang baik,” jelasnya, menambah mereka juga menggunakan teknologi pengurusan ladang kerang yang dihasilkan oleh institut tersebut bagi memastikan tumbesaran pantas.
TEMPOH TUAIAN SINGKAT
Menurut Hadzley, kebanyakan lokasi kerang terletak di pantai dan oleh sebab hidupan itu makan dengan cara menapis air ia tidak dapat makan semasa air surut, bermakna waktu makannya terbatas kerana keadaan air pasang surut berlaku dua kali sehari.
Beliau menambah kerang saiz biasa 25 mm sudah boleh dituai selepas enam bulan dan saiz premium sekitar 33 mm dicapai pada bulan ke-10.
Hadzley berkata kedua-dua teknologi yang dibangunkan untuk kerang itu akan memberi manfaat besar kepada industri akuakultur negara, khususnya bagi pengusaha di Sabah yang kini berpeluang menternak kerang secara lebih efisien dan menguntungkan.
BENIH KERANG
Beliau yakin Tuaran akan menjadi antara pusat utama pengeluaran benih kerang di Sabah selain Beluran, dalam usaha membangunkan industri ternakan kerang yang mampan di negeri berkenaan.
Tiga daerah abah yang lain, iaitu Tawau, Beaufort dan Kota Marudu, turut dikenal pasti mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai lokasi ternakan kerang menggunakan teknologi sama.
“Pembenihan ini dilakukan di lapangan, bukan di makmal. Setakat ini, Malaysia sahaja yang mampu melakukan pembenihan kerang secara aruhan berskala besar di lapangan. – Bernama


