KUALA LUMPUR – Jika sebut padi, ramai terbayangkan pemandangan bendang, kawasan kampung, orang-orang serta kerbau berkubang di kawasan sawah.
Namun, Kebun Komuniti AU Keramat terletak kira-kira enam kilometer dari Menara Berkembar Petronas di sini, akan mengubah persepsi itu meskipun skala penanaman padi yang diusahakan penduduk Rumah Pangsa AU Keramat itu lebih kecil.
Pengerusi Kelab Kebun Rumah Pangsa AU2, Mohamad Halim Mohamad Said, 51, berkata penanaman padi dengan keluasan kira-kira 150 kaki persegi itu mampu menghasilkan kira-kira lima hingga lapan kilogram beras dengan kekerapan penuaian sebanyak dua kali setahun.
Beliau berkata inisiatif mula diusahakan pada 2017 itu bertujuan memberikan pendedahan dan pendidikan kepada pelawat khususnya golongan muda yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat proses penanaman dan penuaian padi.
“Kami mula menanam padi di kebun ini dua kali setahun disebabkan satu peristiwa pada 2017 apabila ada pelawat datang ke kebun dan bertanya kenapa kami tanam kucai dalam air sedangkan ia sebenarnya adalah anak padi.
PUSAT PENDIDIKAN
“Pada masa itu saya pun tak tahu nak gelak atau sedih kerana ada juga orang dewasa yang makan nasi selama ini tak kenal pokok padi. Sejak itu, kami menanam padi dan pokok-pokok yang kurang dikenali orang ramai supaya kebun ini menjadi pusat pendidikan,” katanya kepada Bernama.
Mohamad Halim berkata kebun yang telah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat negeri dan nasional itu juga berjaya menjadi pusat rujukan untuk pelajar dari luar negara serta telah menyumbang dalam pelbagai bentuk kajian membabitkan pertanian.
“Kami juga menjadi tempat rujukan pelajar dari universiti dalam dan luar negara lagi-lagi pelajar Ijazah Sarjana dan PHD. Tahun ini pelajar Ijazah Sarjana dari kolej nombor lima terbaik Amerika di New York telah ke kebun kami sempena pertandingan berkaitan kebun bandar dan mereka telah memenangi tempat pertama,” katanya.
Selain tanaman padi, Kebun Komuniti seluas 0.3 hektar itu mempunyai 240 jenis tanaman lain antaranya ulam-ulaman, pandan, serai, pokok durian Musang King, strawberi dan anggur selain turut mempunyai binatang ternakan seperti holland rabbit dan itik telur.
Tinjauan Bernama di sekitar kawasan kebun berkenaan mendapati setiap tanaman diletakkan tanda nama dilengkapi dengan kod bar bagi tujuan memudahkan pelajar atau pelawat untuk mengenali tanaman di situ.
GUNA BAJA ORGANIK
Kebun Komuniti itu turut menggunakan sistem pengumpulan air hujan bagi tujuan pengairan tanaman dan Sistem Pengkomposan Sisa yang diambil daripada sisa kebun dan makanan untuk digunakan sebagai baja organik.
Mohamad Halim berkata bagi mengurangkan kos perbelanjaan dapur penduduk, terutamanya ketika pandemik COVID-19 melanda negara beberapa tahun lepas, kelab itu turut mengedarkan hasil tanaman secara percuma kepada komuniti setempat.
“Mereka boleh ambil serai, pandan dan sebagainya secara percuma. Kami hanya sediakan tabung khas sumbangan ikhlas jika mereka nak menderma.
“Kalau kami menjual hasil seperti cili, cendawan dan ikan keli dahulu pun, biasanya kami akan menjual minimum 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran atas alasan untuk membantu komuniti setempat,” katanya.
Mengambil maklum mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 berhubung peruntukan RM1 bilion di bawah Dana Komuniti MADANI, Mohamad Halim bercadang untuk mengemukakan permohonan bagi tujuan menaik taraf infrastruktur di kebun itu.
CIPTA PRODUK RACUN PEROSAK
Selain itu, pihaknya juga merancang untuk mengeluarkan produk racun perosak bio menggunakan pokok kaduk dan serai wangi dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Pertanian Negeri Selangor jika permohonannya diterima kelak.
“Kami juga bercadang untuk cipta satu produk utama sekarang kami dalam perbincangan dengan Jabatan Pertanian Negeri Selangor untuk jadikan kebun sebagai hab pelancongan dan ekonomi dengan lebih teratur untuk membantu penduduk setempat,” katanya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang berkesempatan mengadakan lawatan kerja ke Kebun Komuniti itu pada Isnin berkata beliau kagum dengan pelbagai projek dan inisiatif diusahakan komuniti itu yang menerapkan amalan pertanian lestari.
“Saya berharap projek ini dapat menjadi contoh kepada pelaksanaan projek kebuniti (kebun komuniti) di seluruh negara kerana projek ini bukan sahaja berjaya mengurangkan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri bahan makanan.
“… malah telah berjaya menjadi hab agropelancongan dan pendidikan pertanian yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan selepas lawatan kerja itu. – Bernama