Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebun Nuri Nutrisi mampu lahirkan generasi celik usahawan – Ewon

    KOTA BELUD, 13 OKT – Pelaksanaan program Kebun Nuri Nutrisi oleh Bank Rakyat di Sekolah Kebangsaan (SK) Narinang di Kota Belud mampu melahirkan generasi celik keusahawanan sejak di bangku sekolah, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
     
    Beliau berkata program itu bukan sahaja memperkenalkan murid kepada amalan pemakanan sihat, malah memberi peluang kepada mereka mempelajari asas keusahawanan dan pertanian secara praktikal.
     
    “Kita mahu semangat keusahawanan bermula dari sekolah dan berkembang apabila mereka dewasa nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kebun berkenaan di Kota Belud hari ini.
     
    Kebun Nuri Nutrisi di SK Narinang melibatkan projek tanaman hidroponik sayur salad membabitkan 540 pasu yang diuruskan oleh 20 murid Kelab Sains Sekolah sebagai sebahagian daripada pengisian pendidikan dan keusahawanan.
     
    Bank Rakyat turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM19,825 yang memberi manfaat kepada 70 murid sekolah berkenaan. Ini merupakan projek ke-29 yang dilaksanakan Bank Rakyat di sekolah-sekolah seluruh negara sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 2020.
     
    Sejak 2021 hingga kini, program Kebun Nuri Nutrisi telah memberi manfaat kepada lebih 26,000 pelajar B40 daripada 29 institusi pendidikan di seluruh negara, sekali gus menjana lebih RM55,000 hasil jualan daripada lebih 17,000 kilogram tanaman yang dituai. – Bernama
     
    Datuk Ewon Benedick ketika melawat Kebun Nuri Nutrisi, di Kota Belud, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda