Sunday, April 27, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kecanggihan teknologi permudahkan tugas di dapur

    BOSTON – Setakat ini belum ada ciptaan robot yang berupaya untuk membakar soufflé atau menyediakan burrito namun ada di antaranya kini yang berupaya untuk memasak sayuran dan bijirin serta menghidangkannya ke dalam sebiji mangkuk di mana ia berjaya menarik perhatian pelanggan di salah sebuah restoran di bandar raya itu.

    Tujuh alat bantu memasak yang beroperasi di dapur Spyce dilihat berjaya menarik perhatian kerana ia dianggap sebagai satu perkara menakjubkan yang belum pernah dilihat sebelum ini.

    Pelanggan hanya perlu menekan menu pada skrin sentuh untuk menikmati hidangan dikenali sebagai Hearth, sejenis hidangan yang merupakan campuran kubis, quinoa, kale dan ubi keledek yang dimasak di dalam sebiji periuk.

    Periuk itu dipanaskan dengan kuasa induksi magnetik dan setelah menu hidangan itu siap dimasak ia akan dihidangkan terus ke mangkuk.

    Selepas itu, air turut menjirus secara automatik untuk membersihkan periuk sebelum menyediakan hidangan seterusnya.

    Khidmat pekerja tetap diperlukan dalam kerja-kerja layanan dan penyajian kepada pelanggan. – Agensi
    Charles Renwick, salah seorang jurutera yang bekerjasama merealisasikan teknologi robot dalam sebuah restoran membantu pelanggan ketika membuat pesanan makanan. – AP

    Perdebatan mula tercetus sama ada untuk menentukan bahawa mesin itu dikategorikan sebagai rekaan robot berteknologi tinggi atau boleh digelar sebagai cef di era moden.

    Laporan daripada Institut MckKinsey Global menjelaskan bahawa tugas penyediaan makanan dengan bantuan mesin ini memang merupakan satu alternatif positif dalam membantu pekerja restoran yang sering kali kelihatan cukup sibuk melaksanakan pelbagai tugasan.

    “Kebanyakan pekerja juga sering merungut bahawa mereka terpaksa melakukan banyak tugasan namun hanya menerima bayaran pada kadar yang rendah dan kehadiran cef robot ini secara tidak langsung dapat menjadi satu alternatif dalam mengatasi masalah tersebut,” jelas rakan kongsi McKinsey, Michael Chui.

    Walaupun telah memperkenalkan kiosk automatik tersebut namun Spyce masih tetap menggunakan perkhidmatan pekerja.

    Diasaskan oleh rakan sekelas MIT yang bekerjasama dengan cef yang dianugerahkan bintang Michelin, Daniel Boulud, restoran tersebut telah menggaji pekerja untuk melaksanakan pelbagai tugasan seperti memasak nasi, memotong dan membersihkan daging dan sayuran di samping turut melayan para pelanggan.

    Robot berteknologi tinggi ini dilengkapi dengan puluhan motor, sensor dan perkakas lain bagi memudahkan ia beroperasi dengan lancar.

    “Reka bentuk yang dizahirkan pada cef robot tersebut memang berjaya menepati sebagaimana yang kami inginkan. Setentunya ia merupakan satu perkara yang agak menghiburkan untuk melihat aksi robot ini menyediakan makanan dan kami selaku pereka juga berbangga kerana dapat melakukannya,” jelas jurutera yang mereka robot itu, Brady Knight.

    Hakikatnya, kaedah automasi dalam industri makanan bukanlah merupakan sesuatu perkara yang baru namun ia agak kurang didedahkan.

    Pelbagai mesin pembuatan coklat telah mula ditonjolkan dalam siri komedi I Love Lucy pada tahun 1950-an, robot pelayan kafeteria yang memberikan khidmat layanan tatkala wang syiling telah dimasukkan bagi memulakan operasinya.

    “Di samping dapat memberikan layanan kepada pelanggan dengan lebih pantas, aspek kebersihan dalam penyediaan makanan yang dilakukan oleh robot itu juga turut ditekankan,” jelas Knight.

    Pengasas Pizza Zume di Mountain View, California telah meluangkan masa selama bertahun-tahun dalam melakukan kajian untuk merealisasikan robot yang berupaya untuk membentuk adunan piza, mencampur sos tomato dan memasukkan serta mengeluarkan piza dari dan ke dalam ketuhar.

    “Bagaimanapun tugasan pemilihan bahan masakan dalam menentukan topping pada sebiji piza itu tetap dilakukan oleh para pekerja,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Pizza Zume, Alex Garden.

    Teknologi robot berupaya untuk menyediakan hidangan berupa bijirin dikenali sebagai Hearth kepada pelanggan. – AP

    Garden menjelaskan bahawa dirinya tetap berpegang kepada kewujudan automasi di dapur restorannya adalah berperanan untuk memudahkan tugas pekerja dalam menyediakan piza yang dipesan oleh pelanggan namun khidmat pekerja dalam memantau operasi robot itu tetap diperlukan dan menjadi keutamaan bagi memastikan kualiti makanan menepati piawaian yang diinginkan oleh pelanggan.

    Pengasas Spyce menjelaskan bahawa menu yang disediakan oleh cef robot di restoran tersebut adalah khusus pada apa yang telah ditetapkan sahaja di mana ia selalunya ringkas dan mudah seperti semangkuk bijirin.

    Perkara itu adalah penting dalam menguji keupayaan mesin ini bagi memastikan ia dapat menyediakan menu yang bertepatan sebagaimana yang diinginkan oleh pelanggan.

    “Kerja-kerja pemotongan agak sukar untuk dilakukan namun ada juga kalanya mesin berupaya untuk mencabut setiap bijirin daripada sebiji jagung dan pelbagai tugasan lain,” jelas Chui.

    Kecanggihan teknologi robot yang diperkenalkan dalam sesebuah restoran ini setentunya dianggap sebagai satu kaedah pemasaran untuk menarik perhatian lebih ramai pelanggan.

    Namun sebuah restoran di Nuremberg di Jerman yang memperkenalkan khidmat penghantaran melalui luncuran menuju ke arah meja pelanggan terpaksa di tutup pada tahun 2007.

    Pemilik restoran, Michael Mack menjelaskan kepada The Asscociated Press bahawa teknik itu diperkenalkan bagi menghilangkan rasa ketidak selesaan pelanggan seperti mengurangkan barisan panjang dan penyediaan meja bersih pada kadar masa yang lebih cepat.

    Namun malangnya, lebih ramai pelanggan yang merungut bahawa penyediaan hidangan di dalam restoran tersebut dilakukan dalam tempoh masa yang terlalu lama dan kadar harga yang ditawarkan juga terlalu mahal.

    Di samping itu, operasi robot bernama Flippy yang ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja pembuatan burger di salah sebuah restoran di selatan California juga telah dihentikan hanya beberapa hari selepas ia diperkenalkan pada Mac lalu.

    Teknologi yang telah diperkenalkan di Spyce ini secara tidak langsung telah berjaya menarik ramai pekerja pejabat di Boston untuk menikmati hidangan yang ditawarkan.

    “Saya agak sukar untuk mengganggapnya sebagai sebuah robot. Bagaimanapun ia tidak dapat melakukan sebarang keputusan dan tidak memberikan sebarang tindak balas terhadap persekitarannya.

    “Ia adalah satu sistem automatik bagi memudahkan tugasan di dapur,” jelas Pengarah Mass Robotics di Boston, Tom Ryden.

    Ryden menyuarakan bahawa dirinya tetap berminat untuk menikmati hidangan makan tengah hari bersama pelanggan lain di restoran tersebut. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda