Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kecederaan berkaitan rusa meningkat di Taman Nara

    TOKYO, 5 NOV – Pihak berkuasa Jepun memberi amaran bahawa kecederaan yang disebabkan oleh rusa liar di Taman Nara di barat Jepun telah meningkat, dengan ramai pelancong yang mendekati rusa jantan mengalami kecederaan oleh tanduk mereka, menurut laporan media tempatan hari ini.

    Seramai 35 orang cedera pada bulan September akibat serangan rusa di Taman Nara, sebuah tarikan pelancongan utama, iaitu tujuh kali lebih banyak berbanding tahun sebelumnya, dengan 10 daripadanya dimasukkan ke hospital, lapor akhbar Mainichi Shimbun.

    Banyak kecederaan yang dilaporkan adalah luka tikaman beberapa sentimeter di paha atau bahagian badan yang lain.

    Dari September hingga Oktober setiap tahun, rusa jantan berada dalam musim mengawan dan menjadi lebih agresif, mengakibatkan beberapa kecederaan. Namun, Pejabat Taman Nara berkata bahawa bilangan rusa jantan dan jumlah kecederaan yang dialami pelancong tahun ini adalah lebih tinggi daripada biasa, menurut laporan itu.

    Rusa jantan di Taman Nara telah dipotong tanduk pada kadar 10 hingga 15 ekor sehari sejak akhir Ogos, tetapi proses pemotongan itu tidak dapat mengimbangi jumlah rusa yang ada, menurut Pejabat Taman Nara.

    Peningkatan pelancong asing ke Bandar Nara dan orang ramai yang berjalan di taman sambil memegang biskut rusa juga dianggap sebagai faktor penyumbang.

    “Amaran! Rusa jantan dalam musim mengawan sangat agresif, terutamanya pada puncak bulan Oktober, dan kecederaan berkaitan tanduk semakin meningkat,” demikian mesej dalam papan digital yang disiarkan oleh Kerajaan Perbandaran Nara di 12 stesen kereta api utama di bandar itu, sebagai respons terhadap permintaan daripada Yayasan Pemuliharaan Rusa Nara.

    Kira-kira 1,300 ekor rusa di Taman Nara dan kawasan sekitarnya diiktiraf sebagai khazanah alam semula jadi negara di Jepun. – Xinhua

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda