BERLIN, 30 Mei – Kecederaan malang Marco Reus berterusan apabila Borussia Dortmund telah mengesahkan bahawa pemain sayap itu telah mengalami kecederaan cruciate ligamen dalam final Piala Jerman, yang mungkin menyaksikannya diketepikan selama beberapa bulan.
“Dalam beberapa hari akan datang, akan ada beberapa ujian lagi dan satu keputusan akan dibuat bagi rawatan yang perlu,” menurut kenyataan Dortmund.
“Borussia Dortmund tidak akan membuat ramalan mengenai jangka masanya dan kami mengharapkan ‘pemenang piala’ kami cepat sembuh.”
Reus mengalami kecederaan di separuh masa pertama ketika Dortmund menang 2-1 ke atas Eintracht Frankfurt bagi menjuarai Piala Jerman hujung minggu lepas.
Dengan kakinya berbalut, dia tetap berlari selepas wisel penamat bagi meraikannya bersama pasukan.
“Mungkin saya mengalami ‘sedikit’ kecederaan cruciate, tetapi saya boleh menanganinya, saya cuma terlalu gembira,” katanya dengan ceria selepas memenangi piala itu. – AFP