Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kecederaan paksa Serena tarik diri

    PARIS, 30 SEPT – Serena Williams telah menarik diri dari Roland Garros hari ini selepas impian pemain dari Amerika Syarikat (AS) itu untuk memenangi kejuaraan Grand Slam ke-24 hancur lebur dan mencetuskan keraguan mengenai masa depan pemain berusia 39 tahun itu dalam sukan tenis.

    Williams, juara sebanyak tiga kali di Paris, tiba di kejohanan dengan kecederaan tendon Achilles yang dialaminya dalam kekalahan perlawanan separuh akhir Terbuka AS ke atas Victoria Azarenka.

    “Achilles saya belum pulih sepenuhnya selepas Terbuka AS,” kata Williams yang sepatutnya beraksi menentang pemain dari Bulgaria, Tsvetana Pironkova dalam pusingan kedua di Roland Garros akhir hari ini.

    “Saya bergelut untuk berjalan dan itu petanda saya perlu berusaha jalani pemulihan.”
    Kecederaan yang dialaminya besar kemungkinan menandakan dia akan terlepas baki perlawanan tahun ini dan menjadikan Terbuka Australia 2021 sebagai peluang seterusnya untuk menyamai rekod kejohanan utama sepanjang zaman yang dipegang oleh Margaret Court.

    “Saya perlu empat hingga enam minggu untuk berehat,” kata Williams, juara Roland Garros 2002, 2013 dan 2015.

    Serena Williams keluar dari gelanggang setelah menewaskan Kristie Ahn di pusingan pertama Terbuka Perancis. Serena telah menarik diri dari Roland Garros selepas mengalami kecederaan tendon Achilles. – AP

    “Besar kemungkinan saya tidak akan bermain lagi dalam mana-mana kejohanan tahun ini.”

    Williams, kini bermain dalam dekad keempatnya dalam jelajah, belum pernah memenangi Slam sejak merangkul kejuaraan Terbuka Australia kali ke-7 pada 2017 ketika sedang hamil.

    Sejak itu, dia sering kali hampir-hampir memenangi perlawanan. Selepas kembali beraksi tidak lama setelah bersalin, dia mara ke pusingan final Wimbledon dan Terbuka AS pada 2018 dan 2019.

    Pada 2020, dia kecundang dalam set ketiga di pusingan keempat di Australia kepada pemain China, Wang Qiang sementara kejohanan Wimbledon telah dibatalkan.

    Dia pasti tahu bahawa kejohanan di Paris adalah peluang terbaik untuk menambah kejuaraan utama. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda