Oleh Nurdiyanah R.
KEINDAHAN alam percintaan tidak dapat diterjemahkan dengan sempurna tanpa terbinanya mahligai perkahwinan hingga ke syurga yang kekal abadi. Begitulah hakikat percintaan sebenar andai jodoh pertemuan seseorang telah tertulis di Luh Mahfuz.
Setiap pasangan pastinya mengimpikan sebuah majlis perkahwinan yang terbaik dan sempurna seperti yang dirancang sehingga mampu mewujudkan kenangan terindah dalam meniti kehidupan sepanjang hayat.
Daripada pakaian pengantin sehingga kepada aksesori, pelamin, katering, buah tangan, fotografi dan sebagainya, itulah serba-serbi yang semestinya akan menjadi fokus utama bagi para bakal raja dan ratu sehari sebelum berlangsungnya sebuah majlis yang penuh kebahagiaan.
“Selama 18 tahun perjuangan saya dalam dunia keusahawanan di bidang perkhidmatan perkahwinan ini sememangnya bukanlah sesuatu perjalanan yang begitu mudah untuk dikecapi dengan sekelip mata, ia pastinya memerlukan pengorbanan yang begitu besar dan telah dilalui bersama insan-insan tersayang.”
“Meskipun kadang-kadang terlintas di minda akan istilah berputus asa, namun saya tetap bangkit berjuang meneruskan misi ini demi memegang amanah-amanah atau tanggungjawab besar dalam merealisasikan impian para pasangan yang bakal menuju ke alam perkahwinan, yang sememangnya suatu ibadah dalam Islam.


Amanah tersebut adalah prinsip yang sentiasa saya pegang sehingga kini,” itulah antara kata-kata semangat yang diungkapkan oleh pengasas dan pemilik salah sebuah perusahaan dalam perkhidmatan perkahwinan tempatan, Maszalina Weddings, Hajah Nooraslinawati binti Haji Jaili semasa ditemui wartawan Minda baru-baru ini.
Dari sebuah pengalaman peribadi
Hajah Nooraslinawati yang juga merupakan Pengurus Kreatif (Creative Director) dalam perkhidmatan berkenaan menyatakan bahawa adapun syarikat yang telah beroperasi secara rasmi sejak tahun 2001 itu telah menawarkan perkhidmatan yang lebih memfokuskan kepada penyewaan perkhidmatan pakej-pakej perkahwinan seperti baju pengantin, pelamin, menghias hantaran, gubahan bunga tangan; perancang majlis (event coordinator atau event planning); dan jahitan serta sulaman.
“Terdetiknya hati saya untuk menjalankan perusahaan ini adalah disebabkan pengalaman peribadi ketika sedang membuat persiapan bagi mengadakan majlis perkahwinan sekitar penghujung tahun 1999 yang mana telah banyak membuka minda saya kerana pada ketika itu di negara ini didapati tidak begitu banyak yang menyediakan pakej-pakej khususnya bagi perkahwinan sehingga menyebabkan pilihan dari segi pakaian, hiasan hantaran dan pelamin sangatlah terhad dan kebanyakannya tidak menepati citarasa peribadi.”
“Lalu pada ketika itu, disebabkan kesukaran tersebut, saya berhasrat untuk menghias barang-barang hantaran secara persendirian termasuklah menyulam manik pada baju pernikahan saya dan ia sememangnya memberi kepuasan kepada saya dengan hasil usaha sendiri. Pada saat itulah bermulalah perusahaan secara suka-suka dalam mengisi masa lapang dengan menyediakan perkhidmatan perkahwinan dari segi hiasan hantaran dan rekaan pelamin dalam kalangan ahli keluarga terdekat dan sahabat handai yang ingin mendirikan perkahwinan pada ketika itu, lebih-lebih lagi pada masa itu amat terhad untuk mencari pakej-pakej tertentu,” ujar beliau dengan senyuman manis apabila mengimbas kembali kenangan menceburi dunia keusahawanan seni dekorasi tersebut.
Terdidik sejak dari kecil
Namun begitu, bakat seni dekorasi yang dimiliki oleh Hajah Nooraslinawati ini sememangnya diwarisi daripada ibu beliau yang sememangnya amat gemar dalam seni gubahan bunga-bungaan. Dalam pada masa yang sama, pengalaman menceburi dunia keusahawanan ini juga sememangnya telah diperolehi hasil dari didikan nenek dan datuk beliau suatu ketika dahulu yang mana beliau banyak membantu mereka dalam penjualan makanan dan minuman di sekolah, pasar dan juga gerai Ramadan.
Beliau yang kini berusia 44 tahun turut menjelaskan bahawa beliau juga pernah mencuba nasib meraih rezeki dengan membuka kedai penjualan cakera padat (CD) dan juga menjual pelbagai kain sekali gus kedai jahit semasa menetap bersama suaminya di Daerah Temburong suatu ketika dahulu, disebabkan melihat situasi masyarakat di sana pada masa itu kebanyakannya sukar untuk mendapati barangan dan perkhidmatan tersebut.
“Namun sambutan orang ramai dalam perkhidmatan perkahwinan dilihat semakin menggalakkan dari hari ke hari, lebih-lebih lagi setelah menyediakan pelamin besi bercorak daun-daun yang sememangnya merupakan kemuncak utama perkhidmatan saya dikenali oleh masyarakat di negara ini disebabkan dengan adanya rekaan yang mempunyai kelainan dan keunikan yang tersendiri pada ketika itu sehingga sekarang,” tambahnya dengan penuh kesyukuran semasa mengenang saat beliau mengeluarkan pelamin jenis besi pertama di negara ini sekitar tahun 2006 dan 2007.
Di samping itu, beliau menambah lagi, apa yang pasti, dengan adanya kemudahan aplikasi media sosial Facebook dan juga poster pengiklanan yang dikendalikan oleh suami beliau pada masa itu juga merupakan faktor-faktor tertentu dalam menaikan aspek pemasaran dari masa ke masa sehingga sekarang.
Bekas seorang guru agama
Dahulunya, Hajah Nooraslinawati hanya menjalankan perkhdimatan perkahwinan secara sambilan sahaja disebabkan beliau mempunyai tanggungjawab utama dalam bidang kerjaya sebagai seorang guru agama di salah sebuah sekolah agama di negara ini. Namun kini, tekad untuk menceburi dunia keusahawanan sepenuhnya sejak tiga tahun lalu.
“Meskipun kita tidak memiliki kelulusan dalam bidang seni bina dan dekorasi secara profesional, namun apa yang penting seni sebegini juga mampu dikuasai oleh sesiapa sahaja yang ingin menceburinya dengan berbekalkan minat yang mendalam serta keikhlasan diri dalam menanai tanggungjawab yang diberikan,” tekannya dengan penuh keyakinan.
Kini syarikat beliau memiliki 20 orang ahli kakitangan secara keseluruhannya meliputi pekerja tempatan dan juga luar negara termasuklah beliau dan suami yang mana kesemuanya merupakan tulang belakang dalam sama-sama mengembangkan visi syarikat dalam membangun empayar perkhidmatan perkahwinan terbesar di negara ini.
Kesempurnaan sebuah kemanisan
Dalam meniti liku-liku dunia keusahawanan, meski pelbagai cabaran telah dihadapi baik dari segi pengorbanan masa dan tenaga, sokongan dan dorongan yang kuat daripada suami dan kedua ibu bapa Hajah Nooraslinawati merupakan insan-insan yang sentiasa berada di sisinya di kala pasang surutnya dalam menerokai dunia keusahawanan tersebut.
Dalam pada itu, beliau yang berjiwa kental ini juga sentiasa berusaha mendidik para kakitangan syarikat beliau untuk memegang prinsip utama demi untuk menyelesaikan keperluan bakal pengantin dari segi citarasa, impian mereka berdasarkan peruntukan belanjawan dengan sebaik-baiknya.
“Apa yang penting, hidup ini bukanlah untuk diri sendiri bahkan ia juga perlu dimanfaatkan untuk kebaikan bersama orang lain. Begitu juga dalam dunia keusahawanan ini, ia bukanlah hanya mengharap keuntungan semata-mata bahkan apa yang penting ialah ketulusan dan keikhlasan itu mestilah sentiasa dipegang untuk meraih keberkatan dalam sesebuah kehidupan dan juga rezeki yang halal.” ujar beliau dengan kerendahan hati.
Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa apabila kesempurnaan dalam melaksanakan amanah bagi setiap para pelanggan, itulah kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.
Cabar diri dengan kesungguhan
Di samping itu, Hajah Nooraslinawati mengutarakan harapan kepada masyarakat di negara ini khususnya generasi belia untuk sentiasa mencabar diri meraih sesuatu yang diimpikan meskipun secara sedikit demi sedikit.
Melihat kepada industri perkahwinan ini, ia merupakan suatu industri yang sangat besar yang mana ia sememangnya memiliki peluang terbaik bagi masyarakat tempatan yang masih mencari pekerjaan atau pendapatan sampingan untuk menerokai bidang ini dengan sebaik-baiknya. Ini kerana di dalamnya mempunyai potensi yang tinggi untuk dimajukan sama ada dalam dan juga luar negara. Dengan adanya komitmen dan keazaman yang tinggi dalam diri, beliau yakin bidang ini mampu menjanjikan keuntungan atau pulangan yang tinggi kepada sesiapa sahaja yang benar-benar berusaha dengan gigih
“Perlu diingat bahawa bukanlah sesuatu yang mudah jika menceburi dunia keusahawanan ini, tanpa adanya kesungguhan dan semangat yang kuat. Oleh itu, laksanakanlah segala sesuatu dengan bersungguh-sungguh sehingga mantap di samping sentiasa memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya demi meraih keberkatan dalam kehidupan yang fana ini untuk kebaikan bukan sahaja untuk diri sendiri bahkan juga untuk insan-insan di sekeliling kita.” tambah beliau dengan penuh harapan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata baru-baru ini.
Oleh yang demikian, dengan adanya pencapaian usahawan wanita tempatan ini sememangnya sesuatu yang mampu membuka minda kita semua bahawa bakat atau kemahiran seni yang dimiliki oleh seseorang individu itu perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya sehingga mampu mencetus kepada dunia keusahawanan yang pastinya mampu menjanjikan rezeki yang tidak diduga jika kita benar-benar ikhlas menerokainya.