ULASAN BUKU OLEH RAZALI SALAM
SIRI pertama daripada penulis karya terlaris, Julie Klassen, The Innkeeper of Ivy Hill mengisahkan tentang sebuah kampung yang terletak di pinggir kota Wiltshire bernama Ivy Hill.
Di sana terdapat sebuah rumah persinggahan yang merupakan nadi kepada kampung tersebut, The Bell.
Setiap hari rumah persinggahan tersebut akan sentiasa sibuk mengalu-alukan kedatangan orang luar yang membawa perkhabaran berita, surat-surat, pengembara dan juga perdagangan.
Jane Bell yang tinggal berhampiran dengan rumah persinggahan tersebut adalah merupakan seorang wanita yang lemah lembut dan beradab sopan.
Dia kemudiannya telah berkahwin dengan pemilik rumah persinggahan tersebut yang menjanjikan bahawa Jane tidak perlu bekerja lagi seumur hidupnya.

Namun apabila si pemilik tersebut meninggal dunia dengan penuh misteri, Jane kini mendapati bahawa dirinya adalah pemilik baru The Bell.
Keadaan bukanlah senang seperti yang disangka, Jane berhadapan dengan hutang yang harus dilunaskannya dalam masa tiga bulan atau dia akan kehilangan hak milik rumah tersebut.
Dengan perasaan keberatan dan kekurangan pengalaman, Jane seperti ingin melepaskan sahaja peninggalan arwah suaminya itu dan kembali ke kehidupan lamanya.
Walau bagaimanapun, Jane akhirnya sedar bahawa lebih banyak kepentingan yang akan menjadi taruhan daripada keselesaan hidupnya.