Oleh Nurdiyanah R.
IBARAT sebuah dunia kecil dalam sesebuah masyarakat, itulah keluarga. Secara amnya terdiri daripada ibu, bapa dan juga zuriat yang dikurniakan oleh yang Maha Pencipta.
Dunia kecil itulah yang menjadi permulaan kepada sesebuah kehidupan iaitu untuk mendapatkan ketenangan dan kedamaian.
Namun hakikatnya semua itu mestilah disulami dengan kasih sayang, keyakinan dan kepercayaan, keselamatan dan keikhlasan agar mampu mewujudkan mahligai kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga.
Semakin kukuh pegangan rohani dan kekuatan moral dalam institusi kekeluargaan, maka semakin besarlah kegembiraan dan nikmat yang dirasai oleh ahli keluarga.
Membentuk keluarga bahagia bukanlah perkara mudah lebih-lebih lagi di era globalisasi yang semakin hari semakin mencabar di mana semestinya sentiasa menguji akal dan minda kita dalam menerokai liku-liku kehidupan yang penuh pancaroba.




Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa keluarga yang penuh kasih sayang itu mampu melahirkan insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara,
Malah, ia juga tonggak dan nadi kepada pembangunan dan kestabilan sesebuah negara.
Semarak kemeriahan di ibu negara
Demi meningkatkan kesedaran betapa pentingnya peranan institusi keluarga dalam menjamin kesejahteraan dan keharmonian negara, baru-baru ini, masyarakat dan penduduk tetap di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2018 yang telah diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, Bandar Seri Begawan pada 6 Mei lalu.
Acara berkenaan telah dianjurkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta, badan-badan korporat dan organisasi bukan kerajaan termasuk peringkat akar umbi.
Acara penuh bermakna itu menampilkan tema ‘Keluargaku Penyayang, Negara Gemilang’ yang turut diadakan bertepatan dengan Program ‘Bandarku Ceria’ yang merupakan acara hujung minggu yang semakin rancak diadakan di negara ini.
Keseronokan aktiviti riadah seisi keluarga
Pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta, badan-badan korporat dan organisasi bukan kerajaan telah menyediakan pelbagai aktiviti riadah yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Aktiviti Ceria Keluarga yang mengandungi aktiviti berbentuk permainan kekeluargaan dengan hadiah-hadiah menarik dan Aktiviti Pameran Info Keluarga, di mana ia bertujuan untuk memberi nasihat, sokongan dan maklumat berfaedah bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman terhadap isu-isu kekeluargaan dan isu-isu semasa yang lain.
Turut diadakan ialah Aktiviti Jualan Bazar Keluarga Cermat iaitu bazar makanan dan bazar bukan makanan daripada vendor-vendor dan syarikat tempatan bagi memeriahkan lagi suasana acara kemuncak perhimpunan keluarga berkenaan.
Dalam kesempatan itu, Media Permata berkesempatan menemui beberapa orang yang terlibat dalam menjayakan aktiviti pameran dan permainan serta para pengunjung semasa sambutan HKK 2018 itu berlangsung.
Rata-rata mereka mengungkapkan perasaan bersyukur kepada Allah S.W.T di atas peluang yang sangat berharga ini dalam bersama-sama merasai detik sambutan yang penuh istimewa dan dinanti-nantikan oleh seluruh masyarakat di negara ini.



Semai sifat kasih sayang
Menurut ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad, juga selaku Presiden Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam (BDAC) yang turut sama mengadakan pameran semasa Sambutan HKK 2018 tersebut menjelaskan bahawa bertepatan dengan sambutan berkenaan, pameran tersebut semestinya mempunyai mesej yang sangat penting untuk menekankan peranan dan konsep sesebuah keluarga itu yang sentiasa memberikan kasih sayang, penjagaan dan perhatian dengan sebaik-baiknya kepada ahli-ahli keluarga terutama dalam menangani dan mencegah isu-isu sosial.
“Isu-isu sosial itu antaranya berkaitan dengan HIV/AIDS, kehamilan remaja dan jangkitan hubungan kelamin, yang mana salah satunya berpunca daripada kurangnya perhatian ibu bapa kepada anak-anak. Oleh itu, di sinilah masanya BDAC berperanan untuk memberigakan kepada orang ramai di negara ini untuk menyampaikan mesej-mesej yang baik kepada ahli keluarga lain terutama para remaja. Hal ini amat penting agar mereka tidak terdedah dengan anasir-anasir yang tidak diingini seperti terjebak dalam masalah pergaulan bebas.”
“Apa yang saya harapkan ialah para ibu bapa mestilah sentiasa memberi perhatian dan masa terluang bersama anak-anak setiap masa, bukan hanya ketika sambutan-sambutan tertentu sahaja. Antara perkara penting yang selalunya terlepas pandang dalam institusi kekeluargaan ialah amalan sembahyang berjemaah di rumah dan juga makan bersama. Hal ini amat penting diamalkan kerana dengan adanya kesatuan hati dan jiwa antara ahli keluarga, ia diharap dapat meningkatkan lagi sifat kasih sayang dan kecintaan dalam kita menjalani kehidupan sehari-hari,” tambah Yang Berhormat Awang Iswandy lagi dengan penuh keyakinan.
Cinta kepada masjid
Salah sebuah pameran juga telah diungkayahkan oleh Kumpulan Syababul Iman, Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong semasa sambutan HKK 2018 baru-baru ini.
Semasa ditemui Media Permata, Ketua Beliawanis kumpulan berkenaan, Dayang Nur Izzawanie binti Haji Zainin menjelaskan bahawa pameran yang diadakan tersebut telah memfokuskan mengenai betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu berjinak-jinak dengan masjid.
Ini kerana dengan adanya kekuatan iman dan takwa yang diterapkan dalam diri setiap ahli keluarga, ia sudah setentunya dapat melatih diri agar sentiasa menjauhi daripada perbuatan maksiat.
“Di samping itu, pameran ini juga bertujuan untuk menggalakkan para ibu bapa agar sentiasa mendidik anak-anak untuk melaksanakan perintah Allah S.W.T dan menjauhi segala laranganNya. Ini kerana peranan ibu bapa itu amat penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan demi untuk melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah sehingga dapat membangunkan agama, bangsa dan negara dengan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W,” ujar beliau yang kini berusia 25 tahun.



Menghargai orang-orang istimewa
Selain itu salah sebuah aktiviti permainan yang dikenali sebagai Tuntunku deh, yang dianjurkan oleh Unit Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam, KHEU juga menyerikan Sambutan HKK 2018 berkenaan.
Menurut wakil pegawai dan kakitangan dari jabatan dan kementerian tersebut, Awang Hisham bin Haji Abdul Salam telah menerangkan bahawa permainan tersebut bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bagaimana kesulitan orang yang mempunyai masalah penglihatan.
Oleh itu, dengan mengikuti permainan tersebut, ia dapat membuka minda mereka untuk mengetahui apa sahaja bantuan yang diperlukan bagi orang-orang istimewa selain daripada bantuan tongkat.
“Oleh yang demikian, dengan adanya sambutan HKK 2018 ini sememangnya dapat menggalakkan para ibu bapa untuk memberi pendedahan kepada anak-anak mereka untuk membiasakan diri menghadiri acara keramaian yang sihat sebegini. Ini kerana di dalamnya mengandungi pelbagai maklumat dan ilmu pengetahuan yang sangat berguna dalam menerokai kehidupan seharian,” tambah beliau.
Semangat kekeluargaan
Semasa ditemui Media Permata, salah seorang pengunjung dari Kampung Mengkubau bersama isteri dan tiga orang anak beliau, Awang Mohammad Hamdi bin Haji Suhailli, 37, menyatakan bahawa acara sebegini sememangnya mampu memberi kesedaran kepada orang ramai di negara mengenai ikatan kekeluargaan itu mestilah sentiasa dipelihara dengan nilai-nilai murni agar kebahagiaan akan sentiasa kita perolehi dari masa ke semasa.
Manakala salah seorang pengunjung bersama isteri dan dua orang anak lelaki beliau, Awang Abdul Mu’iz bin Dato Kassim, menjelaskan bahawa waktu itulah mereka semua dapat berkumpul untuk mengadakan aktiviti yang sihat bersama ahli keluarga masing-masing, di samping mengisi masa lapang di hujung minggu dengan sebaik-baiknya.
Oleh yang demikian, keluarga merupakan komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat dan seterusnya negara. Tanpa institusi keluarga, kewujudan negara tidak akan sempurna.
Insititusi keluarga yang dipimpin oleh ibu bapa mempunyai integriti yang tinggi sebagai asas pembentukan sesebuah masyakarat. Jikalau ibu bapa gagal untuk berperanan sebagai pendidik, maka sudah setentunya akan timbullah pelbagai gejala sosial yang boleh memudaratkan agama, bangsa dan negara. Oleh itu bersama-samalah kita memelihara institusi kekeluargaan agar kebahagiaan sentiasa menghiasi kehidupan kita di dunia dan akhirat.