Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Dengan tema ‘Kualiti dan Integriti dalam Penyelidikan: Cabaran dan Prospek’, Seminar Antara Universiti Pengajian Lepasan Ijazah (SAPLI) 2021 ke-6 telah diadakan secara dalam talian, hari ini.
Seminar berkenaan melibatkan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Pengajian Siswazah dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Malaysia dan Universitas Islam Negeri Sultan Maulana Hasanuddin (UINSMH) Banten, Indonesia.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, seminar berkenaan telah dirasmikan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr Haji Azman menekankan bahawa penyelidikan dan pendidikan khususnya di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) adalah sangat signifikan dan ia tidak dapat dipisahkan.
“Kecemerlangan sesebuah IPT sama ada di peringkat serantau dan antarabangsa dinilai dari segi pencapaian di bidang penyelidikan yang dilaksanakan oleh institusi-institusi tersebut,” jelasnya.

Mengulas mengenai seminar berkenan, beliau berkata bahawa usaha sama tiga buah universiti berkenaan adalah selaras dengan Matlamat Strategik ke-3, Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2018-2022 iaitu melibatkan pihak yang berkepentingan bagi perkongsian akauntabiliti dalam kemajuan pembelajaran pelajar.
Beliau turut berpendapat bahawa seminar berkenaan berpotensi dalam mewujudkan kerjasama dengan IPT lain di rantau ini yang dilihat mampu memperkembangkan dan memanfaatkan pengetahuan baharu dan teknologi terkini.
Di samping itu, ia juga dapat meningkatkan daya saing global bagi penyelidikan yang dilaksanakan di universiti melalui pendedahan tenaga akademik dan pelajar tempatan kepada budaya penyelidikan negara, serantau dan antarabangsa.
Dalam jangka masa panjang, tambahnya, usaha sama seperti itu akan dapat memperkukuhkan dan meningkatkan lagi pembangunan kapasiti tenaga akademik dan para pelajar UNISSA khususnya dalam bidang penyelidikan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Seminar berkenaan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli akademik dan siswazah di mana sebanyak 65 kertas kerja dibentangkan pada sebelah pagi dalam 12 sidang selari.
Sambutan berkenaan sedikit sebanyak mencapai objektif yang antaranya untuk memperhebat perkongsian ilmiah dalam kalangan tenaga akademik mahupun pasca siswazah yang kreatif dan berkualiti. Sehubungan itu, seminar berkenaan diadakan juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan ukhuwah antara warga IPT Serantau.
Pada sebelah pagi, tiga kertas kerja ucaptama dibentangkan oleh tenaga akademik berkemahiran mewakili setiap universiti penganjur terdiri Profesor Dr Haji Abdul Hafidz bin Haji Omar dari UNISSA; Timbalan Pengarah Pusat Pengajian Siswazah (PPS), Profesor Madya Dr Nor ‘Adha binti Ab Hamid dari KUIS dan Direktur Program Pascasarjana Profesor Dr H Ilzamuddin Ma’mur, dari UINSMH Banten.Seminar berkenaan turut disaksikan oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Pengarah Pusat Pengajian Siswazah UNISSA, Dr Hajah Sri Rahayu@Nurjanah binti Haji Dollah selaku pengerusi bersama jawatankuasa kerja SAPLI 2021, pemangku timbalan rektor dan penolong-penolong rektor UNISSA, pegawai-pegawai utama UNISSA, KUIS dan UINSMH Banten serta para pensyarah dan pelajar siswazah.