Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kecemerlangan tiga pensyarah serlah dedikasi UTB

    Oleh Nurdiyanah R.-

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Tiga pensyarah luar biasa Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah diberi penghormatan dengan Anugerah Kecemerlangan Perguruan semasa berlangsungnya Majlis Anugerah Kecemerlangan UTB yang diadakan sempena Majlis Konvokesyen UTB ke-9 Tahun 2023 lalu.

    Penerima-penerima berkenaan terdiri daripada Profesor Dr Sivakumar Manickam, Dr Law Kah Haw dan Dr Shahriar Shams, yang telah mencetus inspirasi dan pengiktirafan yang membawa impak signifikan terhadap pembelajaran pelajar dan pembangunan akademik di UTB.

    Profesor Dr Sivakumar Manickam merupakan seorang profesor dalam bidang Program Kejuruteraan Petroleum dan Kimia dan juga Timbalan Dekan (Penyelidikan) di Fakulti Kejuruteraan, telah diiktiraf kerana mewujudkan sokongan kepada persekitaran pembelajaran yang positif sehingga membawa kepada penerimaan anugerah tersebut.

    Komitmen beliau terhadap kecemerlangan pengajaran terbukti melalui pelbagai kaedah yang bertujuan membina komuniti yang mesra dan menyokong dalam kelasnya.

    Gaya pengajarannya memberikan penekanan pada projek kumpulan komunikasi terbuka dan aktiviti memupuk kerja berpasukan. Dengan mengiktiraf dan menghargai latar belakang dan perspektif yang pelbagai secara aktif, beliau mencipta ruang inklusif di mana semua orang berasa didengari dan dihormati. Selain itu, di luar waktu kelas biasa, beliau memberi bantuan dan sokongan tambahan, dengan itu mengeratkan hubungan pelajar dan guru.

    Dr Law Kah Haw. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dr Shahriar Shams. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Profesor Dr Sivakumar. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Sementara itu, Dr Law Kah Haw selaku Penolong Profesor Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Fakulti Kejuruteraan dan Timbalan Dekan (Penyelidikan) di Pejabat Pengajian Siswazah dan Penyelidikan (GSRO), telah menyerlahkan usaha dedikasinya dalam memupuk persekitaran pembelajaran yang berkembang lagi dinamik.

    Beliau memberikan penekanan yang kuat untuk mencetuskan rasa ingin tahu dan kritis berfikir. Pendekatannya merangkumi penyelarasan kolaboratif, penyampaian kandungan yang berkesan dan strategi yang menarik, termasuk eye contact dan pemantauan kefahaman berterusan.

    Tempat duduk susunan island model yang beliau aplikasikan menunjukkan persekitaran pembelajaran yang interaktif, memperluaskan suasana di luar bilik darjah untuk memperkasakan pelajar berjaya dalam kedua-dua perjalanan akademik dan profesional.

    Kesan Dr Law Kah Haw terhadap perjalanan akademik pelajar menjadi jelas terutamanya melalui projek yang berkaitan dengan Power Electronics. Ia melibatkan penjanaan voltan terkawal daripada sumber alternatif, mencetuskan minat yang ketara dalam kalangan pelajar sekali gus menyediakan pengalaman praktikal dan aplikasi praktikal, membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan eks-klusif dalam mereka bentuk litar, melaksanakan sistem kawalan dan mensimulasikan litar menggunakan perisian canggih.

    Manakala Dr Shahriar Shams sebagai penolong profesor dalam bidang Program Kejuruteraan Awam, diiktiraf atas dedikasi beliau dalam bidang kecemerlangan pengajaran.

    Mengintegrasikan pengetahuan teori dengan aplikasi praktikal, beliau menggunakan situasi kehidupan sebenar dan kajian kes untuk menyediakan pelajar bagi landskap profesional.

    Mengimbas kembali perjalanan pendidikannya, Dr Shahriar Shams menyerlahkan kesan pendekatan praktikal terhadap pembelajaran dengan pemahamannya tentang pengurusan sumber air bersepadu (IWRM). Lawatan lapangan dan program latihan praktikal memberikan pengalaman langsung yang mempengaruhi pemahaman komprehensifnya tentang subjek tersebut. Hubungan peribadi itu dengan kepentingan pembelajaran praktikal menambah dimensi unik kepada pendekatan pengajaran beliau.

    Dengan adanya penganugerahan kepada para penerima berkenaan, ia menunjukkan komitmen UTB terhadap kecemerlangan akademik, inovasi dan pembangunan pelajar.

    Sumbangan mereka menyerlahkan dedikasi UTB untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang transformatif. Selain itu, UTB telah diiktiraf sebagai salah satu daripada tiga institusi terbaik untuk Teaching and Learning in the 2024 AppliedHE Public & Private University Ranking: ASEAN bagi kedudukannya sebagai peneraju dalam pendidikan tinggi di rantau ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda