Thursday, May 8, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kecerdasan Buatan jadi bualan hangat chef bintang Michelin

    PARIS – Dalam perhimpunan tahunan chef terbaik Perancis sempena penganugerahan Panduan Michelin baru-baru ini, topik perbualan bukan hanya tertumpu kepada siapa yang naik atau hilang bintang – tetapi juga mengenai kecerdasan buatan (AI).

    “Semua orang bercakap tentang AI. Saya duduk di meja bersama 12 orang chef lain dan itulah perkara utama yang kami bincangkan,” ujar Matan Zaken, pemilik restoran satu bintang Michelin, Nhome di Paris, kepada AFP pada acara tersebut hujung Mac lalu.

    Chef berusia 32 tahun itu percaya ramai rakan seindustri sebenarnya sudah menggunakan perkhidmatan seperti ChatGPT untuk membantu mereka merancang resipi dan mencari idea baharu, tetapi enggan mengaku secara terbuka. “Ramai sebenarnya sudah menggunakannya. Tapi dalam industri ini, ego tinggi – mereka takkan hebohkan,” katanya.

    Zaken, seorang warga Perancis-Israel, memilih untuk secara terbuka mengguna pakai teknologi itu kerana melihat potensi AI menghasilkan gabungan bahan yang unik dan mencetuskan pengalaman rasa baharu buat pelanggan. “Kita perlu bergerak seiring dengan zaman,” tambahnya. Di restorannya yang hanya mempunyai 20 tempat duduk dan berkonsepkan meja komuniti, beliau kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada buku resipi dapur, sebaliknya menggunakan pangkalan data dalam talian merangkumi foto makanan, resipi, malah analisis kimia molekul makanan.

    Salah satu penemuan terkini hasil bantuan ChatGPT Premium, yang kini mula memahami gaya masakannya, ialah padanan rasa antara kacang tanah dan bawang putih liar.

    Baru-baru ini juga, Zaken bekerjasama dengan kolektif seni digital Perancis, Obvious Art, yang menghasilkan foto makanan menggunakan AI. Beliau diminta mereka menu berdasarkan gambar-gambar tersebut, satu pendekatan yang membalikkan proses ciptaan masakan yang biasanya bermula dengan pemilihan bahan.

    ‘AI takkan ganti sentuhan manusia’

    Namun, tidak semua chef berkongsi keterujaan yang sama terhadap teknologi ini. Walaupun pekerjaan dalam bidang kulinari dianggap agak terlindung daripada kesan langsung AI berbanding industri lain, idea bahawa komputer boleh membantu – atau menggantikan – proses kreatif tetap menimbulkan keresahan.

    “AI takkan boleh menggantikan sentuhan manusia, rasa lidah tukang masak,” tegas chef selebriti Perancis, Philippe Etchebest, yang menerima bintang Michelin kedua untuk restorannya, Maison Nouvelle di Bordeaux.

    “AI mungkin gantikan manusia dalam bidang lain, tetapi di dapur — saya langsung tak percaya,” ujarnya lagi.

    Chef muda, Thibaut Spiwack dari restoran mesra alam Anona di Paris, pula menyifatkan penggunaan teknologi sebegini sebagai bertentangan dengan semangat dapur tradisional. “Ia bukan roh sebenar perniagaan kami,” katanya, sambil menjelaskan bahawa semua bahan masakannya diperoleh dari wilayah sekitar Paris.

    Chef pastri Thierry Bridron, ketua sekolah masakan Valrhona, menyokong kenyataan tersebut. Sambil menunjukkan tangannya, beliau berkata, “Kebijaksanaan saya ada di sini. Tak ada yang lebih indah daripada alam semula jadi dan hasil bumi.”

    AI bantu kerja remeh, bukan rasa

    Namun begitu, ramai yang bersikap lebih terbuka terhadap penggunaan AI untuk tugasan rutin dan membosankan seperti menulis e-mel, iklan kerja atau menyusun jadual dapur. Aplikasi telefon seperti Menu atau Fullsoon kini membolehkan pengguna memasukkan resipi dan terus mendapat anggaran kos serta jejak karbon hidangan tersebut.

    Malah, ada perisian yang boleh menganalisis data pembelian dan bil lalu untuk meramal permintaan, termasuk mengambil kira faktor seperti cuaca dan acara sukan tempatan.

    Pakar kimia makanan dari Universiti Paris-Saclay, Raphael Haumont, yang juga pengasas Pusat Inovasi Kulinari Perancis, percaya bahawa perubahan paling besar akan berlaku di atas pinggan. Beliau melihat pangkalan data molekul makanan sebagai peluang untuk mencipta kombinasi baharu yang mengejutkan, seperti gabungan coklat dan timun – yang menurutnya kini terbukti serasi.

    “Komputer mungkin temui persamaan yang kita tak sangka langsung,” katanya.

    Perisian berasaskan AI juga mampu menganalisis beratus ribu buku masakan, dan mencadangkan cara baharu penyediaan atau persembahan makanan. “Contohnya, ia boleh analisis 10,000 gambar langoustine dan beri inspirasi bagaimana yang seterusnya patut kelihatan,” jelas Haumont.

    Dalam visinya yang bercorak utopia teknologi, robot berkecekapan tinggi mungkin boleh mengambil alih tugas dapur yang paling membosankan  seperti mengupas kentang selama dua jam. “Siapa yang sanggup buat kerja itu sekarang?” katanya berseloroh. – AFP

    Gambar FreePik.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda