Oleh Dr Timothy Cheng & Dr Natalie Lim –
Kecergasan fungsian adalah berasaskan pergerakan yang sering kita lakukan setiap hari – kadang kala tanpa disedari.
Antara pergerakan ini termasuk mencangkung, membongkok, menolak, menarik dan membawa beban kesemuanya adalah tindakan asas dalam kehidupan seharian.
Sebagai contoh, bangun dari kerusi atau mengangkat beg barang semasa membeli-belah merupakan variasi senaman mencangkung dan farmer’s carry dua bentuk latihan popular dalam kecergasan fungsian.
Konsep utama kecergasan fungsian ialah mengambil pergerakan harian ini dan menggabungkannya dalam rutin senaman.
Latihan ini melibatkan pergerakan kompaun menggunakan pelbagai kumpulan otot dan sendi serentak berbeza dengan senaman tradisional yang lazimnya memberi tumpuan kepada otot tertentu sahaja.
Selain membina kekuatan dan ketahanan, senaman jenis ini turut meningkatkan mobiliti dan keseimbangan dua elemen penting untuk aktiviti harian.
MANFAAT KEPADA TUBUH DAN MINDA
Manfaat Fizikal
Senaman fungsian secara konsisten mampu meningkatkan kekuatan tubuh secara menyeluruh, menambah baik keseimbangan dan kelenturan, serta mengurangkan risiko kecederaan semasa melakukan aktiviti seharian.
Ia juga membantu mengurangkan risiko osteoporosis keadaan kepadatan tulang yang merosot yang boleh membawa kepada patah tulang pinggul dengan kadar kematian setinggi 25 peratus dalam tahun pertama selepas kecederaan. Kos rawatan pula dianggarkan mencecah RM30,000 bagi setiap kes.
Satu aspek penuaan yang sering diabaikan ialah sarcopenia pengurangan jisim dan kekuatan otot seiring pertambahan usia disebabkan kekurangan latihan rintangan, perubahan hormon dan pemakanan tidak seimbang.
Dengan menangani sarcopenia dan osteoporosis melalui latihan fungsian, kita dapat menuju ke arah penuaan sihat yang membolehkan warga emas mengekalkan kehidupan berdikari dan bermaruah.
MANFAAT KESIHATAN MENTAL
Seperti bentuk senaman lain, kecergasan fungsian juga bermanfaat untuk kesihatan mental. Ia membantu mengurangkan keresahan, meningkatkan mood, mencegah kemerosotan kognitif dan memperbaiki kualiti tidur.
Kelas yang biasanya diadakan secara berkumpulan turut mencipta rasa kebersamaan, persahabatan dan semangat komuniti.
UTAMAKAN KESELAMATAN
Walaupun kadangkala dilabel sebagai senaman ekstrem atau berisiko tinggi, kecergasan fungsian sebenarnya adalah selamat dengan syarat ia dilakukan di bawah pengawasan jurulatih bertauliah dan berpengalaman.
Kajian yang diketuai oleh Dr Cheng dan diterbitkan dalam Orthopaedic Journal of Sports Medicine pada tahun 2020 mendapati bahawa apabila dilakukan dengan teknik dan kemajuan yang betul, latihan fungsian adalah seimbang serta berkesan dengan risiko kecederaan yang minimum.
Pergerakan pelbagai sendi yang menyerupai tindakan seharian membantu menyebarkan beban fizikal secara sekata ke seluruh badan, sekali gus mengurangkan tekanan ke atas mana-mana otot atau sendi secara berlebihan.
Aspek penting lain ialah penyesuaian latihan mengikut kemampuan individu. Sama ada awda seorang pemula atau atlet berpengalaman, latihan yang disesuaikan dengan tahap kecergasan semasa adalah kunci kepada keselamatan dan keberkesanan.
Kini, banyak pusat kecergasan menawarkan kelas khas untuk pemula yang menumpukan pada teknik asas, keseimbangan dan peningkatan secara berperingkat. Program adaptif juga membantu peserta menyesuaikan pergerakan mengikut keupayaan masing-masing.
MULAKAN LANGKAH
Mengatakan “saya akan cergas dahulu sebelum menyertai kelas kecergasan fungsian” ibarat berkata “saya tunggu kereta bersih dulu sebelum mencucinya”.
Hakikatnya, tiada pengalaman terdahulu diperlukan untuk mula. Latihan boleh dimulakan dengan pergerakan mudah seperti mencangkung, ‘lunges’ dan angkatan ringan, sebelum beralih kepada intensiti lebih tinggi apabila keyakinan dan kekuatan meningkat.
Sejak diperkenalkan di Malaysia pada awal 2000-an, kecergasan fungsian berkembang daripada sekadar kaedah senaman kepada sukan kompetitif. Pertandingan seperti CrossFit Open dan kejohanan dunia oleh International Functional Fitness Federation menjadi medan menguji kekuatan dan ketahanan, melibatkan peserta dari remaja hingga warga emas. – ANN/The Star