Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keciciran pembelajaran matematik pasca-COVID meruncing

    TEXAS – Pada pagi Julai yang berangin di Selatan Seattle, puluhan pelajar sekolah rendah berlari berganti-ganti di belakang sebuah sekolah rendah.

    Seorang demi seorang, mereka berlumba menuju ke meja, di mana mereka menulis jawapan kepada soalan penggandaan sebelum berlari kembali ke rakan sepasukan mereka.

    Pelajar-pelajar ini adalah sebahagian daripada program musim panas yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan, School Connect WA, yang direka untuk membantu mereka mengejar pelajaran matematik dan kemahiran literasi yang hilang semasa pandemik COVID-19. Terdapat 25 pelajar dalam program ini dan semuanya tercicir satu hingga tiga gred ke belakang.

    Seorang budak lelaki berusia 11 tahun tidak mampu melakukan kira-kira tolak dua digit.

    Disebabkan oleh program ini dan ibunya, yang telah membantunya setiap malam, dia berjaya mengejar pelajarannya yang tercicir. Kini, dia mengatakan matematik mencabar, tetapi dia menyukainya. Namun, kanak-kanak lain tidak begitu baik.

    Giada Gambino, berasa kecewa dengan masalah pada lembaran kerja matematik dari sekolah ketika ibunya membantunya menyelesaikannya di meja makan di rumah mereka pada 23 Ogos di Spring, Texas. – Gambar AP
    Ayub Mohamed (kiri), mendapat bantuan daripada Esmeralda Jimenez, tutor sukarela; manakala Olivia Elaydo dan Eden Pollard mengerjakan masalah matematik semasa program tunjuk ajar musim panas dengan School Connect WA di Sekolah Rendah Antarabangsa Dearborn Park di Seattle pada 28 Julai. – Gambar AP
    Emeli Ousitu (kiri) dan Diana Chen berusaha menyelesaikan masalah pembahagian dan pendaraban pecahan dengan Roy Chang, pengarah eksekutif School Connect WA di Sekolah Rendah Antarabangsa Dearborn Park di Seattle baru-baru ini. – Gambar AP
    Keluarga Gambino bekerja pada lembaran kerja matematik semasa mereka membuat kerja rumah dari sekolah di meja makan di rumah mereka baru-baru ini. – Gambar AP

    Di seluruh Amerika Syarikat (AS), sekolah-sekolah giat membantu para pelajar dalam matematik kerana skor ujian pasca pandemik mendedahkan tahap kemahiran yang hilang.

    Rata-rata, pengetahuan matematik para pelajar tercicir adalah sekitar setengah tahun persekolahan daripada sepatutnya, menurut penganalisis pendidikan.

    Kanak-kanak juga kehilangan kemajuan dalam ujian membaca, juga, tetapi penurunan dalam matematik lebih ketara. Pakar-pakar mengatakan pembelajaran maya telah merumitkan pengajaran matematik, menjadikannya sukar bagi guru untuk membimbing pelajar melalui skrin atau melihat kelemahan dalam kemahiran menyelesaikan masalah.

    Selain itu, ibu bapa lebih cenderung membaca bersama anak-anak mereka di rumah berbanding berlatih matematik.

    Hasilnya, kemahiran matematik pelajar merosot secara menyeluruh, memburukkan lagi ketidaksamaan kaum dan sosioekonomi dalam prestasi matematik.

    Dan prestasi para pelajar tidak pulih dengan cepat seperti yang diharapkan oleh pendidik, meningkatkan kebimbangan tentang bagaimana mereka akan berjaya di sekolah menengah dan sama ada bidang sains, teknologi dan perubatan akan terbuka untuk mereka.

    Para pelajar telah membuat kemajuan bertahap dalam ujian matematik kebangsaan sejak tahun 1990. Tetapi sepanjang tahun lalu, skor matematik gred keempat dan kelapan merosot ke tahap terendah dalam lebih kurang 20 tahun, menurut data dari Penilaian Kebangsaan Kemajuan Pendidikan, yang dikenali sebagai ‘Kad Laporan Negara’.

    “Ia bersamaan kehilangan kemajuan bernilai satu generasi,” kata Andrew Ho, seorang profesor di Sekolah Siswazah Pendidikan, Universiti Harvard.

    Di Sekolah Menengah Moultrie di Mount Pleasant, South Carolina, Jennifer Matthews telah melihat kesan pandemik terhadap kelas gred kelapannya. Para pelajarnya telah menunjukkan sikap acuh tak acuh untuk memahami pelajaran pra-algebra dan Algebra I.

    “Mereka tidak membenarkan diri mereka memproses bahan pembelajaran. Mereka tidak membenarkan diri mereka berfikir, ‘ini mungkin mengambil masa sehari untuk difahami atau dipelajarai’,” katanya.

    Dan baru-baru ini, para pelajar hadir ke kelasnya dengan jurang dalam pemahaman tentang konsep matematik. Contohnya, pecahan asas masih menjadi halangan bagi kebanyakan daripada mereka, katanya.

    Menggunakan wang bantuan pandemik persekutuan, beberapa sekolah telah menambah tutor atau mencuba pendekatan kurikulum baharu atas nama pemulihan akademik.

    Seperti daerah-daerah lain di seluruh negara, sekolah-sekolah di Jefferson County di Birmingham, Alabama, menyaksikan kemahiran matematik pelajar merosot dari 2019 hingga 2021. Dengan memanfaatkan bantuan pandemik, daerah tersebut menempatkan jurulatih matematik di semua sekolah menengah mereka.

    Para jurulatih membantu guru-guru mempelajari kaedah-kaedah pengajaran yang baharu dan lebih baik kepada pelajar. Kira-kira satu dari lima sekolah awam di AS mempunyai jurulatih matematik, menurut data persekutuan. Usaha ini nampaknya membuahkan hasil: Ujian negeri menunjukkan skor matematik telah mula meningkat bagi kebanyakan sekolah menengah di Jefferson County.

    Di sistem sekolah Pittsburgh, yang mempunyai populasi pelajar Afrika Amerika sebanyak 53 peratus, guru pendidikan khas, Ebonie Lamb berkata ia ‘memenatkan dari segi emosi’ untuk melihat ketidakadilan antara kumpulan pelajar. Tetapi beliau percaya jurang akademik itu boleh ditutup melalui pelajaran yang berkaitan dengan budaya, dan menumpukan pengajaran kepada tahap kemahiran setiap pelajar.

    Lamb berkata dia biasanya meminta pelajar untuk melakukan projek Walk a Mile in My Shoes di mana mereka perlu menggambarkan kehidupan mereka. Ia adalah cara dia boleh belajar lebih banyak tentang mereka sebagai individu.

    Akhirnya, hubungan tersebut membantu dalam aspek akademik. Tahun lalu, dia dan rakan guru mengajar matematik dalam format kumpulan kecil yang membolehkan para pelajar menguasai kemahiran mengikut tahap mereka sendiri.

    “Semua pelajar dalam kelas tidak boleh mengikuti kurikulum yang sama dan menyelesaikan masalah yang sama sepanjang masa”, katanya.

    Selain cabaran dalam kemerosotan pelajar, terdapat perdebatan mengenai bagaimana matematik harus diajar. Selama bertahun-tahun, pakar mengatakan bahawa kecenderungan telah beralih antara pembelajaran prosedur, seperti mengajar anak-anak untuk menghafal cara menyelesaikan masalah langkah demi langkah, dan pemahaman konseptual, di mana pelajar memahami hubungan asas matematik.

    “Secara stereotaip, matematik adalah subjek yang tidak disukai orang. Bagi kebanyakan orang dewasa, matematik diajar untuk dihafal,” kata Kevin Dykema, Presiden Majlis Kebangsaan Guru-guru Matematik. “Apabila orang mula memahami apa yang sedang berlaku, dalam apa sahaja yang awda pelajari terutamanya dalam matematik, awda mengembangkan penghargaan baharu untuknya.”

    Mengajar matematik seharusnya bukan situasi salah satu daripada dua keadaan, kata Sarah Powell, seorang profesor di Universiti Texas di Austin yang mengkaji pengajaran matematik. Peralihan yang terlalu jauh ke arah konseptual, katanya, berisiko mengasingkan pelajar yang belum menguasai kemahiran asas.

    “Kami sebenarnya perlu mengajar, namun ia kurang seksi dan tidak begitu menarik,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda