COMAYAGUA, HONDURAS – Eduardo Espinal, 12, menjalankan kedai gunting rambut sendiri di sebuah bangunan kecil beratap zink di Honduras yang dibuka dari jam 8 pagi hingga 8 malam.
Ketika tiada pelanggan, dia bermain sorok-sorok atau bola sepak dengan rakan-rakannya. Dia tidak bersekolah sejak tahun lepas. Walaupun satu kesalahan di Honduras bagi kanak-kanak di bawah 14 tahun bekerja, Eduardo adalah salah seorang daripada puluhan ribu yang berbuat demikian di negara Amerika Tengah yang dilanda kemiskinan dan jenayah.
Pada 2021, lebih satu daripada 10 kanak-kanak Honduras berumur lima hingga 18 tahun bekerja, menurut Horacio Lovo dari institut statistik kebangsaan INE. Setengah juta daripada 2.3 juta kanak-kanak di negara berkenaan tidak bekerja dan tidak bersekolah.
“Saya sangat suka kedai gunting rambut itu dan juga belajar,” kata Eduardo kepada AFP di luar ‘Kedai Gunting Rambut Eduar’, yang dibukanya bulan lalu di pinggir Comayagua di tengah Honduras.
Dia mengenakan bayaran antara AS$2 dan AS$3 setiap potongan, bergantung pada gaya. Pada hari paling sibuk dia mampu memperoleh AS$45, keuntungan kecil di negara di mana satu pertiga daripada populasi dengan hampir 10 juta orang hidup kurang daripada satu dolar sehari.
Bapa Eduardo, Wilfredo Espinal, 50, menyara hidup dengan mengumpul pasir sungai untuk dijual kepada pembina. Ibunya, Merlin Carranza, tidak bekerja. Ingin membantu keluarganya, budak lelaki itu berkata, dia mula bekerja sebagai perantis tahun lalu semasa berusia 11 tahun di kedai gunting rambut tempat dia dan bapanya memotong rambut. Ayahnya membelikannya satu set gunting, yang digunakannya di rumah. Sebulan yang lalu, Eduardo memberitahu bapanya, “Ayah, saya boleh memotong rambut, saya mahu ayah belikan saya kerusi untuk tempat duduk pelanggan,” kata Wilfredo Espinal kepada AFP.
Bapanya menuruti kemahuannya dengan membuat pinjaman untuk membeli kerusi dan gunting, pisau cukur dan peralatan lain yang diperlukan, dan membantu budak itu mendirikan kedai di sebuah bangunan kecil yang dahulunya milik nenek Eduardo.
“Pada hari biasa, saya mempersiapkan diri, makan dan lalu datang ke sini,” jelasnya kepada AFP.
“Saya bermain apabila saya tidak mempunyai pelanggan,” tambahnya.
Menurut Lovo, Eduardo adalah contoh ‘kes serius kanak-kanak yang berhenti sekolah untuk bekerja.
“Kanak-kanak sepatutnya berada di sekolah,” tegasnya.
Eduardo menamatkan sekolah rendah pada 2021, dan berharap untuk memulakan sekolah menengah tahun depan.
Menurut laporan UNICEF pada 2020, kira-kira 55 peratus kanak-kanak Honduras mengakses sekolah menengah peringkat rendah, dan lebih satu pertiga mencapai peringkat menengah atas. Persekolahan adalah wajib untuk sembilan darjah pertama.
Keciciran meningkat selepas penutupan sekolah berhubungan penularan COVID dan kemusnahan yang diakibatkan oleh ribut tropika Eta dan Iota pada November 2020, kata laporan UNICEF.
Eduardo bermimpi menjadi tukang gunting rambut profesional, bagi membina rumah untuk ibunya dan membantu adik perempuannya, yang kini ber-usia lapan tahun, bagi membuka salon kecantikan.
Kadar kemiskinan dan pengangguran yang tinggi, ditambah dengan keganasan kumpulan dan dadah, memaksa hampir 800 warga Honduras meninggalkan negara itu setiap hari, terutamanya menuju ke Amerika Syarikat, di mana lebih sejuta sudah tinggal Honduras, kebanyakannya tanpa dokumen. – AFP