Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kecuaian hospital ragut empat nyawa anak damit

    SEOUL, Korea Selatan, 12 Jan – Pengabaian kebersihan di unit rawatan intensif sebuah hospital swasta di Seoul menyebabkan empat anak damit yang baru lahir dalam tempoh dua jam maut bulan lalu, kata polis, hari ini.

    Lima kakitangan perubatan, dua doktor dan tiga jururawat di Hospital Universiti Wanita Ewha akan didakwa melakukan pembunuhan secara tidak sengaja kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian, kata para pegawai.

    Kejadian ini benar-benar luar biasa bagi Korea Selatan yang sangat maju dari segi teknologi dan destinasi utama untuk pelancongan perubatan, terutama pembedahan kosmetik.

    Ujian darah pada empat anak damit pramatang menunjukkan mereka semua dijangkiti bakteria kalis dadah yang sama mengakibatkan kejutan septik, kata Polis Polis Metropolitan Seoul.

    Semua anak damit menunjukkan perubahan drastik dalam detak jantung mereka dengan perut kembung, menurut National Forensic Service yang menjalankan pemeriksaan bedah siasat selepas itu.

    “Kematian anak damit akibat jangkitan bakteria pada masa yang sama jarang berlaku,” kata NFS.

    NFS menyimpulkan mereka sama ada diberi suplemen pemakanan yang tercemar atau suplemen telah tercemar semasa proses itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda