KUALA LUMPUR, 21 FEB – Pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menafikan dakwaan bahawa kelab bola sepak itu akan menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan.
Mohd Daud berkata segala khabar angin yang bertebaran dalam beberapa minggu ini adalah tidak benar sama sekali.
“Kami tidak pernah menghantar surat (penarikan diri) kepada mana-mana pihak. Kami akan kekal dan komited untuk terus bersaing dalam Liga Super setakat yang mampu,” katanya pada majlis pengumuman rakan strategik dan duta-duta KDA FC di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan KDA FC berdepan isu tunggakan gaji akibat masalah kewangan, sekali gus timbul dakwaan bahawa juara Piala Malaysia lima kali itu akan menarik diri daripada bersaing di peringkat tertinggi Liga Malaysia (Liga-M) dan beraksi di liga lebih rendah musim depan.
Pada majlis berkenaan, KDA FC mengumumkan syarikat telekomunikasi BE ONE Network Sdn Bhd sebagai rakan strategik, selain memperkenalkan duta baharu mereka, iaitu penyanyi terkenal Hanifah Muhammad Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Black serta figura media digital, Muhd Iqbal Mohd Nor (CEO Batu) dan Mohd Irshad Shafiq Mohd Tahir (CEO Biezy).
Dalam pada itu, Mohd Daud berharap pengumuman duta baharu itu sedikit sebanyak mampu mempromosikan produk KDA FC dengan lebih meluas, terutama dalam usaha meningkatkan keahlian kelab penyokong pasukan itu, ‘The Wing’. – Bernama
