Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 9 NOV – Kepelbagaian produk dan juadah tempatan keluaran penduduk di seluruh negara terus diketengahkan melalui inisiatif berterusan apabila Kedai Satu Kampung Satu Produk (1K1P) Daerah Belait dirasmikan pada 9 November.
Kedai tersebut kini beroperasi di bangunan bekas Pejabat Pos Daerah Belait yang terletak di Jalan McKerron, Kuala Belait.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, yang dimulakan dengan sesi aerobik pada waktu pagi diikuti dengan Aktiviti Berbasikal Santai.
Aktiviti tersebut bermula dari kawasan bangunan tersebut dengan peserta berbasikal ke Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan sebelum kembali ke tempat permulaan.
Seterusnya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyempurnakan perasmian Kedai 1K1P Daerah Belait sebelum meninjau pelbagai produk dan barangan yang dipamerkan di rak kedai.


Penubuhan Kedai 1K1P ini bertujuan menghimpunkan produk khasnya dari Daerah Belait dan umumnya dari seluruh negara di satu lokasi strategik yang dapat menarik minat pengunjung serta pelancong.
Kedai itu juga bakal menambah tarikan kepada beberapa lokasi dan mercu tanda ikonik yang berhampiran seperti Pantai dan Rekreasi Jubli Perak serta Muzium Daerah Belait.
Selain itu, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi komuniti tempatan di samping mempromosikan produk keluaran kampung dari semua daerah.
Selesai majlis perasmian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin turut membuat lawatan ke beberapa reruai jualan sempena Festival Penghulu Mukim dan Ketua Kampung (PMKK) 2025 yang berlangsung dari 6 November hingga hari ini di kawasan tempat letak kereta Pejabat Daerah Belait.
Hadir sama ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ketua-ketua jabatan, wakil sektor swasta serta para penghulu mukim, ketua kampung dan ketua rumah panjang.
