Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Kedai bebas cukai pertama di negara ini telah dibuka rasmi kelmarin di Satellite Area, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas.
Pelancaran kedai yang dikendalikan oleh Kedai Bebas Cukai SBC, Shinwoo Group dari Korea berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong; Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; dan Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.
Turut merasmikan ialah Presiden Shinwoo Group, Choi Sangkwon dan Pengarah SBC Sdn Bhd, Sung Weonwoo.
Sejurus pelancaran, menteri-menteri melihat lebih dekat lagi barangan yang dijual di empat stesen Bebas Cukai SBC di terminal berlepas.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika ditemu bual mengucapkan terima kasih kepada pihak SBC kerana telah membuat keputusan membuka kedai bebas cukai di negara ini.

Menurutnya, dengan adanya kedai berkenaan, ia dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan dan setakat ini, pihak SBC telah mengambil 20 orang anak tempatan untuk bekerja di Kedai Bebas Cukai SBC.
Di samping itu, Yang Berhormat Dato juga berterima kasih kepada Jabatan Penerbangan Awam dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja kerana memberi kebenaran membuka kedai bebas cukai mereka di sini dan pihak Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) kerana membawa mereka masuk untuk melabur di negara ini.
Yang Berhormat Dato juga menjelaskan, jumlah pelaburan sebanyak $5 juta oleh pihak SBC, walaupun dalam jumlah yang kecil, tapi ia satu permulaan yang baik
Jumlah pelaburan bagi memulakan operasi di sini itu adalah satu permulaan yang baik dan berterima kasih kepada pihak LKEB kerana membantu mereka untuk masuk dan melabur di negara ini.
Untuk mengembangkan lagi perniagaan di negara ini, SBC merancang untuk membuka cawangan di kawasan pusat bandar atau salah sebuah hotel di mana sasaran SBC adalah kepada pelancong”, jelasnya.
Selain itu, mereka juga berhasrat untuk menjual produk dari dalam negara seperti produk satu kampung satu produk antaranya kraftangan yang akan dibungkus semula untuk nampak lebih menarik untuk dipasarkan bukan saja dalam negara tapi untuk pasaran luar negara.