Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 31 DIS – Bagi membantu meringankan beban 30 buah keluarga kurang bernasib baik di Daerah Belait ketika menyambut tahun baharu, Pergerakan Belia Minda telah mengadakan Kedai Komuniti buat julung kalinya di dewan Pusat Belia di sini, kelmarin.
Dianjurkan dengan kerjasama Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) Care dengan sokongan daripada Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Belait, kedai itu diwujudkan untuk menyediakan keluarga yang kurang bernasib baik memperoleh keperluan serta peralatan sekolah bagi anak-anak mereka sebagai persiapan menyambut tahun baharu yang akan datang.
Keperluan dan peralatan sekolah berkenaan disumbangkan oleh kumpulan dan agensi terbabit serta orang ramai sebelum majlis bermula 27 Disember lalu.
Kumpulan itu menyatakan bahawa 30 keluarga kurang bernasib baik dari Mukim Belait, Mukim Seria dan Mukim Liang, telah dipilih untuk mengunjungi kedai berkenaan pada masa mereka sendiri pada hari itu bagi bebas memilih barangan yang diperlukan, dengan sukarelawan berdiri di situ untuk membantu keluarga-keluarga berkenaan.
Salah seorang ahli keluarga yang kurang bernasib baik, Dayang Halimah binti Hamijah, yang membawa tiga anak dan dua anak tirinya, melahirkan rasa terima kasih kepada kumpulan dan agensi yang terlibat kerana mencipta majlis yang tidak dapat dilupakan untuk mereka.
“Kami gembira dapat datang (Kedai Komuniti) dan memilih barangan yang perlu kami gunakan di rumah, serta peralatan sekolah untuk anak-anak saya menjelang tahun persekolahan baharu,” tambahnya.
Beliau berharap lebih banyak Kedai Komuniti akan diadakan pada masa hadapan yang bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan tetapi juga untuk menyediakan keluarga yang kurang bernasib baik dengan kebebasan bagi memilih sendiri barangan yang paling mereka perlukan dalam kehidupan seharian.