DAMSYIK – Remaja Syria dengan sindrom Down mengambil bahagian dalam festival yang diadakan selama sebulan di Damsyik dengan menjalankan perniagaan kedai kopi.
Aktiviti itu merupakan sebahagian daripada inisiatif oleh Persatuan Juzour, sebuah organisasi amal yang menjalankan beberapa projek kemanusiaan dan salah satunya adalah menganjurkan acara bagi mereka yang mengalami sindrom Down.
Remaja lelaki dan wanita menjalankan perniagaan kedai kopi yang bernama Succet, di mana pihak penganjur berharap untuk melihat ‘cahaya’ yang lebih bersinar di luar festival itu. Di taman Tishreen yang luas di Damsyik, ramai remaja yang menghidapi sindrom Down memakai pakaian uniform. Sebahagiannya melayan tetamu dan sebahagian yang lain berdiri di belakang meja bar menyediakan jus dan kopi.
Kegembiraan dilihat di wajah mereka sambil berbual-bual dengan orang lain dan menikmati masa rehat bernyanyi serta menari bersama keluarga mereka yang duduk berhampiran. Mereka menerima bantuan daripada para sukarelawan persatuan itu untuk membuat kerja-kerja mereka sebaik mungkin.
Dengan aktiviti sebegini bertujuan untuk membantu remaja-remaja itu berinteraksi dengan masyarakat, yang kurang mengetahui mengenai diri mereka.

Muhannad, berusia 26 tahun memberitahu Xinhua bahawa dia selalu berada di dalam rumah tanpa membuat apa-apa. Dia juga melahirkan perasaan gembira sekarang kerana dia boleh melakukan sesuatu yang akan mengisi masa lapangnya dan membantunya untuk berjumpa dengan orang lain selain daripada keluarganya.
“Saya tinggal di rumah tanpa membuat apa-apa dan sekarang saya boleh bekerja untuk menjaga dan menghidangkan kopi dan teh.. saya sangat gembira bersama rakan-rakan saya di sini,” kata Muhannad.
Rakannya Aya, melakarkan senyuman yang menawan sepanjang masa beliau bekerja. “Saya boleh membuat minuman kapucino dan jus, saya amat gembira,” katanya kepada Xinhua. Aya juga menyatakan bahawa dia suka melukis dan bercita-cita untuk menjadi seorang artis suatu hari nanti.
Kholoud Rajab, pengerusi lembaga pengarah Persatuan Juzor memberitahu Xinhua bahawa tujuan persatuan itu adalah untuk menghapuskan stereotaip dalam perasaan simpati terhadap orang-orang sindrom Down dan membantu mereka untuk memasuki era di mana mereka merupakan sebahagian daripada masyarakat dan mengambil hak penuh mereka.
Pembantunya, Saleh al-Isamel, pengarah eksekutif Persatuan Juzour mengatakan bahawa persatuan ini mempunyai rancangan yang jauh untuk membantu mereka yang menghidapi sindrom Down.
“Sebagai sebuah persatuan, kami akan bekerja dalam jangka masa yang panjang bagi rancangan yang jauh dengan tujuan untuk mengemas kini pekerjaan di kafe dalam festival menjadi sebuah kafe tetap di Damsyik sebagai langkah pertama supaya kami dapat menjadikan idea ini umum di bandar-bandar Syria yang lain,” kata Saleh.
Beliau menambah bahawa mereka memerlukan sokongan dana kewangan untuk membantu mereka meneruskan pekerjaan ini.
“Sekarang kami menghadapi banyak masalah kerana kami memerlukan sokongan kewangan untuk mendapatkan visi yang lebih besar supaya projek ini boleh bersinar dengan penuh harapan,” kata al-Ismael kepada Xinhua. – Xinhua