Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Kedai roti penjara’ ditemukan

    ROM, 10 DIS – Ahli arkeologi yang menggali bandar Rom purba, Pompeii telah menemui ‘kedai roti penjara’ di mana hamba dan keldai yang ditutup matanya disimpan di bawah tanah untuk mengisar bijirin menjadi roti, kata pihak berkuasa baru-baru ini.

    Di bawah sebuah rumah dalam runtuhan tersebut, mereka menemukan ‘ruang sempit tanpa pemandangan dunia luar dan dengan tingkap kecil tinggi di dinding, yang dipasang palang besi, untuk membenarkan cahaya masuk’, demikian diumumkan oleh Taman Arkeologi Pompeii pada Jumaat lalu.

    Ahli arkeologi menyimpulkan mereka telah menemukan ‘kedai roti penjara’, menurut Tapak Warisan Dunia UNESCO berhampiran Naples, selatan Itali, dalam laman webnya.

    Mereka juga menemukan ‘lekukan’ di lantai ‘untuk menyelaraskan pergerakan haiwan, yang dipaksa berjalan keliling selama berjam-jam, sambil ditutup matanya’.

    Rumah itu, di tapak seluas 44 hektar yang kini sedang digali, dibahagikan kepada kawasan kediaman yang ‘dihiasi lukisan dinding Fourth Style yang indah’ dan ‘ruang produktif’, iaitu kedai roti.

    Tiga rangka ditemui dalam satu bilik di kedai roti itu, menunjukkan rumah itu berpenghuni.

    Kedai roti, di mana hamba dan haiwan dipaksa untuk melakukan tugas yang meletihkan untuk memutar batu pengisar, tidak mempunyai pintu atau hubungan dengan dunia luar. – AFP

    Gambar edaran yang dikeluarkan pada 8 Disember oleh Taman Arkeologi Pompeii menunjukkan kawasan Regio IX tapak tempat kedai roti penjara ditemui. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda