Tuesday, January 7, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kedai runcit bergerak hubungkan perkampungan terpencil

    LOHNE – Di perkampungan Lohne di barat Jerman, di mana satu-satunya kedai runcit menamatkan operasinya pada awal tahun ini, penduduk kini mendapatkan bekalan makanan mereka di dalam sebuah bas pasar raya berwarna merah-hijau yang berhenti di dataran utama sekali seminggu.

    Selama 90 minit, penduduk tempatan berpeluang membeli barangan keperluan asas tanpa perlu menaiki kereta untuk pergi ke kedai terdekat.

    Pasar raya bergerak ini ialah projek perintis antara peruncit makanan ketiga terbesar di Jerman, REWE, dan syarikat kereta api dan pengangkutan, Deutsche Bahn.

    Bas tersebut mula beroperasi pada bulan Mac, memenuhi permintaan dari kawasan perkampungan luar bandar di negeri Hesse di mana kedai-kedai fizikal menjadi pemandangan yang semakin jarang, menukar beberapa kawasan menjadi apa yang dipanggil sebagai ‘padang pasir makanan’.

    Bagi kira-kira 600 penduduk Lohne, di mana balkoninya dihiasi dengan pelbagai bunga geranium berwarna-warni, ketibaan bas beli-belah REWE merupakan pemandangan yang sangat dialu-alukan selepas satu-satunya pasar mini di kampung itu ditutup buat selama-lamanya pada musim bunga.

    Datuk Bandar Fritzlar, Hartmut Spogat menjawab soalan seorang wartawan ketika pelanggan memasuki bas pasar raya beli-belah REWE di kampung Lohne berhampiran Fritzlar, Jerman tengah, pada 6 Julai. – Gambar AFP
    Seorang pelanggan memilih sayur-sayuran di luar bas pasar raya beli-belah REWE di kampung Lohne baru-baru ini. – Gambar AFP
    Pelanggan mendapatkan barangan keperluan dalam bas pasar raya beli-belah REWE pada 6 Julai. – Gambar AFP
    Bas pasar raya beli-belah REWE ditempatkan dan sedia untuk memulakan perniagaan di kampung Lohne berhampiran Fritzlar, Jerman tengah, pada 6 Julai. – Gambar AFP
    Seorang pekerja REWE menyambungkan kabel untuk mendapatkan elektrik bagi bas pasar raya beli-belah REWE di kampung Lohne berhampiran Fritzlar, Jerman tengah, pada 6 Julai. – Gambar AFP

    “Saya boleh mendapatkan barangan asas di sini,” kata Inge Nehreng, 90 tahun, yang menunggang basikal tiga roda elektriknya sejauh tiga kilometer untuk menyertai pertemuan mingguan bas itu.

    “Jika saya memerlukan sesuatu yang istimewa, saya akan pergi ke pusat membeli-belah,” tambahnya.

    Diletakkan di kawasan dataran kampung, bas sepanjang 18 meter itu membawa lebih daripada 950 produk kegunaan harian.

    Buah-buahan dan sayur-sayuran segar dipamerkan di luar bas, manakala di dalamnya pilihan terdiri daripada bahan makanan hingga rokok, surat khabar, sabun dan kondom.

    “Satu-satunya perkara yang tidak ditawarkan ialah lampin anak damit dan tisu basah,” kata Yasmine Schneider, 34, yang membeli-belah bersama anak kecilnya, Felix.

    Pasar raya bergerak ini juga telah menjadi tempat pertemuan yang popular, peluang bagi penduduk yang kebiasaannya terdiri daripada warga emas untuk bertanya khabar sambil mendapatkan barangan keperluan mingguan mereka.

    “Selepas membeli-belah, kami duduk di bangku dan bersembang sebentar,” kata Ursula Sauer, 85, yang tinggal bersendirian.

    Memastikan perkampungan sentiasa terhubung

    Dari Isnin hingga Sabtu, bas pasar raya itu menempuh laluan sejauh 600 kilometer dan berhenti di 23 kampung.

    Harga di dalam bas ini ‘sama’ seperti di pasar raya REWE, kata Joern Berszinski, yang menguruskan bas pasar raya itu.

    Deutsche Bahn menyediakan pemandu untuk projek berkenaan, manakala juruwang di dalam bas merupakan pekerja REWE.

    Di sebalik tarikannya, masih belum dapat dilihat sejauh mana keuntungan perkhidmatan bas itu.

    “Ia mengambil masa tiga tahun untuk sebuah kedai fizikal untuk memperoleh keuntungan, bas ini juga mungkin mengambil masa beberapa tahun,” kata Berszinski, yang telah menjalankan francais dengan REWE selama 30 tahun.

    Satu kelebihan utama bagi pasar raya bergerak ini ialah REWE boleh menjangkau lebih banyak pelanggan dengan satu pasukan jualan.

    “Pada satu masa apabila terdapat kekurangan pekerja mahir, itu adalah satu kelebihan,” kata Frank Klingenhoefer, yang bertanggungjawab ke atas perkhidmatan mobiliti di syarikat Deutsche Bahn Regio.

    Projek bas itu tidak terlepas pandang di Jerman, di mana hampir 2,000 pasar raya dengan keluasan kurang daripada 400 meter persegi telah ditutup sejak 10 tahun lalu, menurut kumpulan penyelidikan runcit, EHI.

    “Banyak komuniti di wilayah lain telah menyatakan minat,” kata Klingenhoefer.

    Kumpulan pasar raya REWE merancang untuk menunggu sehingga tamat projek perintis pada bulan Mac 2025 sebelum memutuskan untuk memperluas projek ini.

    Deutsche Bahn sudah mempunyai lapan ‘bas perubatan’ yang merentasi kawasan luar bandar untuk merawat penduduk Jerman yang semakin tua di kawasan terpencil.

    Ia juga mempunyai rancangan untuk bas yang menawarkan perkhidmatan perbankan.

    Klingenhoefer berkata dia boleh membayangkan perkhidmatan bergerak yang lain seperti baik pulih kasut dan pakaian, serta apa-apa sahaja ‘di mana keperluan sesebuah kampung terlalu kecil’ untuk mewajarkan pelaburan kedai fizikal. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda