Kedai runcit disaran laksana langkah kawalan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Pengusaha kedai-kedai runcit disarankan untuk melaksanakan langkah-langkah pengawalan termasuk mengehadkan keramaian pelanggan yang masuk ke dalam kedai mereka dan hendaklah menyediakan kod QR di pintu-pintu masuk kedai mereka.

Saranan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika memberikan penerangan lanjut mengenai tanggungjawab pengusaha kedai runcit dalam sama-sama menangani penularan wabak COVID-19 pada sidang media mengenai jangkitan COVID-19 di Dewan ‘Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, jumlah orang yang berada dalam sesebuah kedai runcit tidak dapat ditetapkan oleh pihak kementeriannya kerana setiap kedai runcit mempunyai saiz dan ruang yang berbeza.

Sehubungan itu, pihak kedai atau pengusaha kedai harus menunjukkan langkah-langkah pengawalan yang diambil dengan mengawal atau mengehadkan jumlah pelanggan memasuki kedai mereka mengikut keluasan ruang kedai mereka.

Beliau mengambil contoh pasar raya-pasar raya yang besar di mana mereka melaksanakan langkah-langkah pengawalan dengan mengehadkan jumlah pengunjung kepada 50 orang atau 100 orang mengikut ruang premis mereka.

Beliau menyatakan bahawa pihak pengusaha perlu membuat tanda menunjukkan jumlah pengunjung yang dibenarkan untuk memasuki premis dan membuat kiraan yang betul.

“Jadi jika tidak ada langkah-langkah pengawalan seperti ini, kod QR dan pemeriksaan suhu badan, pihak berkuasa, bukan Kementerian Kesihatan sahaja tetapi agensi-agensi
yang lain boleh memberikan kompaun atau menghadapkan pengusaha kedai-kedai ini ke mahkamah.”