SEOUL, 21 Nov – Rantaian kedai serbaneka Korea Selatan, BGF Retail Co. membuka cawangan pertamanya di Tehran, Iran pada Selasa, lapor agensi berita Yonhap.
Pelancaran kedai pertama di luar negara itu, empat bulan selepas syarikat tersebut menandatangani perjanjian dengan syarikat Iran, Entekhab Investment Development Group untuk memasuki pasaran negara Timur Tengah.
“Iran adalah pasaran terbesar di Timur Tengah dengan lebih daripada 80 juta orang. Kejayaan membuka pasaran di Iran akan membuka peluang untuk mempercepatkan perkembangan syarikat di peringkat global,” kata Naib Presiden BGF Retail, Hong Jung-kuk.
Banyak pengendali kedai serbaneka di Korea Selatan mengintai peluang untuk melebarkan sayap ke luar negara, yang kini dikuasai tiga rantaian – CU, GS25 dan 7-Eleven.
Menurut data industri, saiz pasaran untuk kedai serbaneka di Korea Selatan melebihi 20 trilion won (AS$18.2 bilion) tahun lepas, menunjukkan peningkatan sebanyak 18.6 peratus daripada tahun sebelumnya. – Bernama