KUALA LUMPUR, 3 APRIL – Ketibaan pelancong ke Malaysia dijangka meningkat kepada 27 juta tahun ini, mewakili kenaikan 35 peratus berbanding tahun lepas, melepasi angka 26.1 juta yang direkodkan semasa paras pra-pandemik pada 2019, kata Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).
Firma penyelidikan itu berkata pertumbuhan tersebut akan didorong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk perjalanan udara perniagaan dan percutian, selaras dengan sasaran 27.3 juta seperti yang ditetapkan oleh Tourism Malaysia tahun ini.
Faktor penyumbang ialah kemasukan pelancong China, yang, secara tradisinya membentuk kira-kira 12 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong di Malaysia.
Selain itu, pertumbuhan itu juga akan didorong oleh pelaksanaan pengaturan bebas visa selama 30 hari membabitkan pelawat China dan India ke Malaysia, yang bermula pada Disember 2023.
Sebagai respons, China telah memberi pelawat masuk dari Malaysia 15 hari tanpa visa untuk perjalanan antara 1 Disember 2023 dan 30 November 2024, kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya hari ini.
Kenanga IB juga meramalkan trafik penumpang di keseluruhan sistem lapangan terbang akan menokok sebanyak 7 peratus kepada 131 juta tahun ini.
Lonjakan semula trafik penumpang dan ketersambungan dijangka dipacu oleh pengenalan syarikat penerbangan serta perkhidmatan baharu di lapangan terbang utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Langkawi. – Bernama


