Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Negara Brunei Darussalam menekankan kedayatahanan sebagai penyelesaian secara menyeluruh kepada pelbagai masalah alam sekitar yang dihadapi sekarang dan ia diterapkan di dalam agenda pembangunan negara.
Ini melalui pelaksanaan pelbagai langkah, inisiatif, dasar dan peraturan termasuk penguatkuasaan Akta Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar Bab 240 dan Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.
Perkara itu digariskan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku tetamu kehormat semasa menyampaikan ucaptama pelancaran Minggu Alam Sekitar: Road Towards a Sustainable Environment #BeTheSolution, di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa penguatkuasaan akta tersebut bertujuan untuk melindungi dan mengurus alam sekitar dengan betul dengan objektif mencegah atau meminimumkan pencemaran alam sekitar.
Yang Berhormat Dato turut menyentuh tema Road Towards a Sustainable Environment #BeTheSolution, di mana isu alam sekitar adalah yang terbesar dihadapi oleh dunia hari ini.



Ini seperti penggunaan plastik, walaupun ia boleh menyumbang secara positif kepada kehidupan seharian tapi tidak dinafikan beberapa amalan pengeluaran, penggunaan dan pelupusan plastik mencemarkan ekosistem, mewujudkan risiko untuk kesihatan manusia dan menjejaskan kestabilan iklim.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga mencadangkan ‘Tiga Melayu P’ (3MPs) iaitu pengetahuan, pimpin dan penyertaan, untuk memastikan usaha-usaha dalam mengekalkan alam sekitar berdaya tahan.
Dalam ucaptama beliau turut mengongsikan data yang telah menunjukkan 75 hingga 199 juta tan plastik telah dijumpai di lautan.
“Biodiversiti atau kepelbagaian hidupan di planet ini telah menurun pada kadar yang membimbangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan ini disebabkan oleh aktiviti manusia yang menyebabkan perubahan guna tanah, pencemaran dan perubahan iklim,” jelasnya.
Beliau juga mengongsikan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2021 di mana kira-kira 1 juta spesies haiwan dan tumbuhan diancam kepupusan.
Katanya lagi, tabiat, pertumbuhan penduduk, perindustrian, perubahan iklim dan pencemaran adalah beberapa punca utama kepupusan sumber alam.
Selain itu, Yang Berhormat Dato juga mengongsikan inisiatif yang telah dilaksanakan iaitu pada 2020, Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) telah dirumuskan untuk membuka jalan ke arah negara yang rendah karbon, berdaya tahan iklim dan mampan.
Ia antara lain menetapkan sasaran untuk menanam 500,000 pokok baharu menjelang 2035, meningkatkan jumlah bahagian tenaga boleh diperbaharui kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2035, dan memperkenalkan harga karbon, jelasnya.

