Kediaman milik pelakon terkenal Hollywood, Brad Pitt, telah dipecah masuk dan dirompak pada malam Khamis lalu ketika beliau sedang berada di luar negara bagi tujuan promosi filem terbaharunya berjudul F1, lapor media tempatan Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) memaklumkan kepada NBC News bahawa insiden itu berlaku di kawasan kejiranan Los Feliz sekitar jam 10:30 malam, namun tidak mengesahkan secara rasmi pemilikan rumah berkenaan.
Menurut sumber polis yang dipetik oleh NBC News dan Los Angeles Times, tiga suspek dilaporkan memanjat pagar hadapan rumah sebelum memecah masuk melalui tingkap dan merompak beberapa barang peribadi sebelum melarikan diri. Nilai kerugian belum didedahkan setakat ini.
Ketika kejadian, bintang pemenang Anugerah Oscar berusia 61 tahun itu tidak berada di rumah kerana sedang dalam siri jelajah promosi filem F1, yang baru-baru ini ditayangkan perdana di London.
Menurut laporan majalah Variety, rumah tersebut telah dibeli oleh Pitt pada tahun 2023 dengan harga sekitar AS$5.5 juta.
Kes itu menambah kepada senarai selebriti Hollywood yang menjadi sasaran jenayah pecah rumah di Los Angeles tahun ini. Pada Februari lalu, penyerang Perancis dan pemain kelab bola sepak Los Angeles FC, Olivier Giroud, turut kehilangan barang kemas bernilai hampir AS$500,000 dalam kejadian serupa. Rumah pasangan selebriti Nicole Kidman dan Keith Urban juga dilaporkan dipecah masuk dalam bulan yang sama. – AFP


