BAITULMAQDIS, 29 DIS – Amerika Syarikat (AS) menjual kediaman duta di Israel dengan harga lebih daripada AS$67 juta pada Julai, menurut rekod jualan rasmi Israel, yang hanya disahkan oleh Jabatan Negara beberapa minggu kemudian tanpa membutirkan implikasi ke atas pembayar cukai AS.
Jabatan Negara mengesahkan penjualan pada September tetapi enggan mengenal pasti pembeli atau mendedahkan harga jualan kediaman tepi pantai di kawasan Tel Aviv Herzliya. Ia juga enggan berkata jumlah yang dibayar sekarang oleh kerajaan AS untuk menyewa harta tersebut.
Akhbar Israel Globes telah mengenal pasti pembeli sebagai jutawan kasino AS Sheldon Adelson, penyokong Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu. Wakil Adelson berkata jutawan itu tidak mempunyai komen.
Pada harga lebih AS$67 juta, nampaknya ia merupakan kediaman paling mahal yang dijual di Israel.
Penjualan membantu memperkukuhkan keputusan Trump untuk memindah Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada 2018 dan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Di bawah perjanjian itu, Duta David Friedman akan terus menetap di estet itu sehingga musim bunga 2021, dengan kerajaan AS menyewa kediaman berkenaan. – AP
