Seorang wanita tempatan ditahan setelah cuba menyelinap masuk ke kediaman ahli kumpulan BTS, Jungkook.
Sewaktu kejadian pada Sabtu, suspek berusia 40-an itu dilihat mengekori sebuah kenderaan yang memasuki kawasan tempat letak kereta bawah tanah berdasarkan kenyataan Balai Polis Yongsan.
Menurut laporan mStar, pengawal keselamatan yang melihat menerusi kamera litar tertutup (CCTV) segera melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Apabila diterjah, dia hanya mengeluarkan kenyataan mengarut yang mendakwa ‘kononnya’ dia baru sahaja berkunjung ke rumah rakannya.
Suspek kemudian ditangkap sekitar pukul 11.20 malam dan pihak polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif tindakan.
Ini menjadikan kes pencerobohan kedua di lokasi sejak beberapa bulan yang lalu.
Sekitar Jun lalu, seorang wanita warga Cina dalam lingkungan usia 30-an cuba memecah masuk kediaman penyanyi itu pada hari dia menamatkan latihan ketenteraan.
Menurut Undang-undang Anti-Hendap Korea Selatan, pelaku mungkin berdepan tiga tahun penjara atau didenda sehingga 30 juta won (RM90,952.48), malah memperuntukkan lima tahun penjara atau denda sehingga 50 juta won (RM151,624.35) sekiranya membabitkan senjata atau alatan berbahaya.
Insiden sedemikian membuktikan masalah yang kerap terjadi dalam industri K-pop, bila mana peminat obses atau dikenali sebagai ‘sasaeng’ bertindak melampaui batas dan melanggar privasi idola kesayangan mereka. – Agensi


