Saturday, February 8, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kediaman lebih selesa di PPR untuk penduduk Batu Sapi

    SANDAKAN – Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi di Sandakan ini bukan sahaja memberi peluang kepada penghuninya untuk menikmati tempat tinggal yang selesa tetapi juga menikmati masa depan yang lebih baik.

    Nursidah Rasul, 33 adalah antara mereka yang berpeluang memulakan kehidupan yang lebih selesa di PPR itu. Paling menggembirakan wanita itu beliau tidak lagi berhadapan masalah mendapatkan air bersih, seperti ketika tinggal di Kampung Lupak Meluas Laut.

    Sebelum berpindah ke perumahan berkenaan, Nursidah terpaksa bergantung kepada air hujan untuk kegunaan harian, manakala untuk air minuman terpaksa membeli air daripada mesin air bertapis atau air botol minuman. “Sejak tinggal di PPR Batu Sapi ini, kami sekeluarga hidup dengan selesa kerana terdapat bekalan air dan elektrik,” katanya kepada Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

    Nursidah yang tinggal di PPR itu bersama empat orang anak dan seorang menantunya sejak Mac lepas berkata beliau tidak pernah terbayang untuk tinggal di kawasan perumahan yang selesa dan dilengkapi kemudahan asas.

    Peluang pekerjaan

    Malah tinggal di PPR itu juga memberi peluang pekerjaan kepada Nursidah kerana beliau dapat bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan syarikat swasta yang dilantik untuk kerja pembersihan PPR Taman Batu Sapi. Gaji yang diperolehi menerusi pekerjaan itu dapat digunakannya untuk membayar sewa rumah dan bil air di PPR itu yang berjumlah kira-kira RM250 sebulan.

    Penerima-penerima kunci PPR di kawasan Batu Sapi.

    PPR Taman Batu Sapi dibina di tanah seluas 38 hektar dengan kos RM31.25 juta dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 3 Mac lepas. Sebanyak 180 unit di Blok B PPR itu sudah didiami dengan setiap unit mempunyai tiga bilik tidur dengan keluasan 700 kaki persegi.

    PPR Taman Batu Sapi juga menyediakan lima unit rumah untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan turut mempunyai kemudahan empat lot kedai, lima gerai, Dewan Serbaguna, 120 tempat letak kereta, tiga taman permainan kanak-kanak dan masing-masing sebuah gelanggang bola tampar dan sepak takraw.

    Bagi Sitti Haslinda Samson, 25, beliau bersyukur dapat tinggal di rumah yang selesa walaupun suaminya yang bekerja di kedai tayar di Jalan Leila berpendapatan rendah. “Dengan sewa rumah yang rendah dan mampu dibayar, kami dapat membesarkan dua anak kami yang masih kecil di rumah yang mempunyai kemudahan asas yang lengkap.

    “Lagi penting aspek keselamatan saya dan dua anak di PPR ini terjamin ketika suami keluar pergi bekerja,” katanya.

    Sitti Haslinda sebelum ini juga tinggal di Kampung Lupak Meluas Laut dan ketika itu juga berhadapan masalah mendapatkan bekalan air dan membayar harga mahal untuk bekalan elektrik di rumah.

    Ini kerana bekalan elektrik yang disalurkan di kampung itu menerusi sebuah syarikat swasta dengan bayaran dikenakan berdasar pergunaan peralatan elektrik di rumah.

    Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi memberi peluang kepada penghuninya untuk menikmati tempat tinggal yang selesa. – Bernama
    Usaha menambah bilangan PPR di kawasan Batu Sapi akan terus dikemukakan kepada kerajaan persekutuan bagi memenuhi keperluan rakyat kurang berkemampuan di kawasan itu.

    Menurutnya kini mereka hanya perlu memperuntukkan RM300 untuk membayar sewa rumah, bil air dan bil elektrik yang tidak membebankan perbelanjaan bulanan mereka sekeluarga.

    Lagi banyak PPR di Batu Sapi

    Dalam pada itu, sebuah lagi PPR yang terdapat dalam kawasan Parlimen Batu Sapi adalah PPR Lintas Sibuga yang mempunyai 500 unit rumah yang dibina dengan kos RM23.7 juta. Kedua-dua PPR ini terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong. Anggota DUN Sekong yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Batu Sapi Datuk Samsudin Yahya berkata penyediaan rumah PPR membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memberikan keselesaan tempat tinggal kepada rakyat yang kurang berkemampuan.

    Usaha menambah bilangan PPR di kawasan Batu Sapi akan terus dikemukakan kepada kerajaan persekutuan bagi memenuhi keperluan rakyat kurang berkemampuan di kawasan itu untuk memiliki rumah sendiri dengan kemudahan asas yang lengkap.

    Pada masa sama, beliau berkata pembinaan dua PPR itu juga adalah usaha kerajaan untuk mengurangkan masalah penempatan setinggan di sekitar Batu Sapi. Selain projek PPR, Samsuddin berkata banyak projek pembangunan lain yang telah dan akan dilaksanakan untuk memberi faedah kepada ribuan penduduk di kawasan Parlimen Batu Sapi.

    Ini termasuk pembinaan dua buah masjid iaitu Masjid Batu Sapi di kampung Lupak Meluas, bersebelahan PPR Taman Batu Sapi bernilai RM5 juta dan Masjid Indah Jaya Batu 4 dengan kos RM1.5 juta.

    Samsuddin berkata kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga meluluskan peruntukan RM60 juta bagi melaksanakan projek bekalan air luar bandar di Pulau Timbang dalam kawasan Parlimen Batu Sapi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda