LONDON, 1 JAN — Polis London kini giat memburu seorang pencuri yang menceroboh sebuah kediaman mewah sebelum melarikan barang kemas, beg tangan berjenama, dan wang tunai bernilai lebih AS$13.2 juta.
Pemilik kediaman tersebut, yang dikenali media British sebagai seorang pempengaruh Instagram dan suaminya, seorang pemaju hartanah, tidak berada di rumah pada 7 Disember lalu.
Bagaimanapun, pekerja mereka berada di lokasi, dan seorang pembantu rumah hampir bertembung dengan pencuri bersenjata itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Ini adalah jenayah yang berani dan nekad, di mana suspek telah memasuki premis sambil membawa senjata yang tidak dikenal pasti,” kata Detektif Konstabel Paulo Roberts daripada Polis Metropolitan pada Isnin ketika mengumumkan kecurian itu.
Antara barangan yang dicuri ialah cincin berlian 10.73 karat, anting-anting berlian, dan klip yang dihiasi emas, berlian, serta batu nilam. Barang curi tersebut juga merangkumi beg tangan bernilai AS$189,000.
Pemilik kediaman itu menawarkan gan-jaran sebanyak AS$628,000 untuk sebarang maklumat yang membawa kepada penangkapan dan pendakwaan suspek, serta ganjaran tambahan sebanyak 10 peratus daripada nilai barangan yang berjaya ditemui.
Polis memaklumkan suspek dipercayai memasuki premis dengan memanjat tingkap tingkat dua.
Rumah itu terletak berhampiran Regent’s Park, salah satu kawasan paling mewah di London. – AP