Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Bulan suci Ramadan mengajar umat Islam untuk mewujudkan perpaduan yang lebih erat dengan umat Islam lainnya, lebih-lebih lagi dengan warganegara lain.
Sehubungan itu, Kedutaan Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan majlis berbuka puasa di Royal Berkshire, Jerudong kelmarin.
Hadir pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Juga hadir, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, anggota diplomatik yang beragama Islam dan tetamu undangan.
Hadir mengalu-alukan para jemputan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah H. Al Buraithin.
Majlis dimulakan dengan berbuka puasa diikuti dengan sembahyang fardu Maghrib berjemaah sebelum menikmati juadah berbuka.
Majlis berbuka puasa itu merupakan satu peluang untuk pihak kedutaan berinteraksi dengan rakyat beragama Islam di Negara Brunei Darussalam serta membincangkan isu-isu keislaman, kebudayaan, sosial dan lain-lain.

