BAGHDAD, 8 DIS – Satu serangan roket telah dilancarkan hari ini ke atas kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Zon Hijau Baghdad, menurut kedutaan, yang terbaharu dalam beberapa siri serangan di tengah-tengah peperangan Israel-Hamas.
Menurut seorang pegawai AS, “Serangan roket telah dilancarkan ke atas tentera AS dan di sekitar Union III dan kompleks kedutaan Baghdad tanpa menimbulkan sebarang kerosakan atau kecederaan.”
Tidak ada sesiapa yang mendakwa tanggungjawab atas serangan itu.
AS mengetuai gabungan antarabangsa memerangi kumpulan tentera di Iraq dan negara jiran, Syria, di mana pasukan mereka telah diserang berulang kali dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Serangan itu berlaku di sebalik peperangan lebih dua bulan antara sekutu AS, Israel dan kumpulan pejuang Islam Palestin yang disokong Iran, Hamas di Semenanjung Gaza.
Dalam satu kenyataan, kedutaan AS berkata, ‘Dua roket telah dilancarkan di perkarangan kedutaan itu sekitar jam 4:15 pagi waktu tempatan.
“Terdapat tanda-tanda menunjukkan serangan dilakukan oleh militia yang bersekutu dengan Iran,” kata seorang jurucakap AS.
Jurucakap itu menggesa kerajaan Iraq supaya melindungi diplomat, rakan gabungan dan kemudahan, sambil menambah, “Kami menekankan bahawa kami mempunyai hak untuk mempertahankan diri dan melindungi kakitangan kami di mana-mana tempat di dunia.”
Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani memberi amaran bahawa serangan ke atas kedutaan menggugat keselamatan negara dan menyeru pasukan keselamatan untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. – AFP