Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China mempunyai hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala yang erat serta mesra di mana kedua-dua negara hidup bersama dalam penuh harmoni.
Perkara itu dinyatakan oleh Atase Pertahanan Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, Kolonel Kanan Dai Qilin dalam kata alu-aluannya pada Majlis Resepsi Ulang Tahun Penubuhan Tentera Pembebasan Rakyat China ke-96 yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, kelmarin.
Hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohammad Yussof dan isteri, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili serta Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam yang dilantik, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo.
Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta jemputan khas.
Kolonel Kanan Dai Qilin dalam kata alu-aluannya menyatakan tahun ini menandakan ulang tahun kelima penubuhan kerjasama strategik China-Brunei di mana hubungan tentera kedua-dua buah negara memainkan peranan penting dalam kerjasama tersebut.
Beliau menambah Tentera Pembebasan Rakyat China dan ABDB terus mengekalkan hubungan kerjasama dan persahabatan erat menerusi lawatan peringkat tinggi, dialog sekuriti, latihan dan eksasais bersama.
Beliau seterusnya berharap China dan Brunei akan mencapai perkembangan dan pembangunan lebih besar serta tentera kedua-dua buah negara akan terus bergerak ke hadapan dalam hubungan mesranya.
Majlis diteruskan dengan acara memotong kek ulang tahun yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin, TYT Xiao Jianguo dan Kolonel Kanan Dai Qilin.