Wednesday, February 12, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kedutaan China beramal kepada masyarakat tempatan

    Oleh James Kon
    Gambar serahan Kedutaan Besar Republik Rakyat China

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Bulan Ramadan merupakan bulan yang penting bagi penduduk di Brunei oleh itu, dalam semangat bulan yang suci berkenaan, setiap tahun Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Brunei Darussalam menganjurkan beberapa aktiviti untuk mempromosikan interaksi dan hubungan rapat bersama masyarakat tempatan.

    Dalam menandakan penghujung Ramadan dan memperingati Sambutan Hari Raya Aidilfitri, kedutaan berkenaan telah mengongsikan pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan, dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Bagi Ramadan tahun ini, Chargé d’Affaires Kedutaan Republik Rakyat China, Wang Haitao telah berkunjung ke Sekolah Pai Yuek, Temburong untuk menyampaikan sumbangan keperluan asas dan hadiah kepada pelajar-pelajar semasa memperingati Ulang Tahun ke-30 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara China dan Brunei.

    Di samping itu, kedutaan berkenaan dengan sokongan daripada Pentadbiran Radio dan Televisyen Kebangsaan China juga telah bekerjasama dengan Radio Televisyen Brunei (RTB) untuk menerbitkan drama ‘Masa Muda Terindah’ yang disiarkan menerusi saluran RTB Aneka.

    Drama berkenaan, yang pertama disiarkan dalam Bahasa Melayu di Brunei, menceritakan mengenai sekumpulan belia China yang berpindah dari bandar ke padang pasir terpencil dan menukarnya menjadi oasis selepas melaksanakan kempen penanaman pokok selama berdekad-dekad.

    Program itu telah memenangi Drama TV Terbaik di bawah Flying Apsaras Awards yang berprestij bagi 2020.

    Ramadan tahun ini juga menyaksikan Kedutaan China menganugerahkan sijil dan hadiah kepada sekolah-sekolah rendah yang aktif menyertai pertandingan mewarna sempena Ulang Tahun Penubuhan Hubungan Diplomatik antara China dan Brunei.

    Kedutaan tersebut juga mengunjungi pelajar-pelajar China di Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) serta sukarelawan yang datang ke Brunei untuk mengajar Bahasa Cina.

    Sementara itu, Ramadan tahun lalu menyaksikan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim di Kampung Subok.

    PYT Yu Hong menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim semasa Ramadan tahun lalu.
    Wang Haitao menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim di Temburong pada Ramadan lalu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda