Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Kedutaan Besar Republik Islam Iran di Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Antarabangsa, telah mengadakan acara libat urus khas di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, kelmarin.
Acara ini adalah sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti pendidikan pusat berkenaan serta bagi memperingati ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara Iran dan Brunei Darussalam.
Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Kedutaan untuk mengukuhkan hubungan antara rakyat serta menyumbang kepada komuniti setempat, pihak Kedutaan telah menyampaikan sumbangan berupa sebuah komputer riba ke Pusat Ehsan.
Sumbangan ini antara lain bertujuan menyokong program latihan, pentadbiran dan pembelajaran pusat itu untuk para pelajarnya.
Di acara itu, pegawai-pegawai Kedutaan turut mengadakan tayangan khas filem animasi Iran bertajuk “Dolphin Boy”, arahan Mohammad Kheyrandish yang diterbitkan pada tahun 2022.
Jalan cerita filem yang menyentuh hati dan visual yang menarik, dan berjaya memikat perhatian para penonton, khususnya para pelajar pusat berkenaan.
“Dolphin Boy” mengisahkan cerita inspirasi tentang seorang kanak-kanak lelaki yang terlibat dalam nahas kapal terbang dan diselamatkan daripada ombak oleh Snowball, iaitu seekor ikan lumba-lumba yang berani.
Membesar bersama sebagai sahabat karib, mereka memenuhi lautan dengan pelbagai pengembaraan menggembirakan sehingga dunia mereka yang aman diganggu oleh seekor sotong kurita yang jahat.
Dihalau ke daratan, kanak-kanak itu perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan manusia dan mencari asal-usul dirinya.
Dengan bantuan seorang kapten baik hati bernama Murvarid serta Snowball yang setia, dia memulakan sebuah perjalanan penuh cabaran, persahabatan, dan penemuan ajaib merentasi lautan dan pulau-pulau jauh.
Pihak Kedutaan menegaskan bahawa sumbangan dan tayangan filem tersebut mencerminkan usaha diplomasi budaya Iran serta hasrat untuk memupuk hubungan baik, kerjasama dan saling memahami dengan rakyat Brunei Darussalam, khususnya ketika kedua-dua negara meraikan 35 tahun hubungan diplomatik yang mesra dan erat.
Pegawai-pegawai Kedutaan turut hadir dalam acara tersebut dan menyampaikan penghargaan ke Pusat Ehsan atas usaha gigih mereka dalam memperkasa individu berkeperluan khas.




