Kedutaan Iran sumbang buku kepada Perpustakaan UTB

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Koleksi lebih 30 buku yang mengetengahkan sumbangan cendekiawan terkemuka dalam beberapa cabang ilmu khususnya dalam bidang sains dan seni bina, telah disumbangkan oleh Kedutaan Besar Republik Islam Iran di Negara Brunei Darussalam kepada Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini.

Sumbangan koleksi buku berkenaan adalah bagi Rak Profesor Maryam Mirzakhani yang turut dilancarkan pada majlis secara maya.

Menurut kenyataan UTB, sumbangan berkenaan adalah sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh lagi pertukaran pendidikan antara Iran dan Brunei.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan majlis penyerahan dan pelancaran rak yang dihoskan oleh UTB itu ialah Jurucakap Kementerian Luar Republik Islam Iran, Dr Saeed Khatib Zadeh.

Pada majlis itu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi menyerahkan buku tersebut secara maya kepada Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

Dr Saeed Khatib Zadeh semasa berucap selaku tetamu kehormat pada majlis penyerahan buku berkenaan. – Gambar serahan UTB

Turut hadir pada majlis tersebut ialah perwakilan luar negara ke Brunei Darussalam, pegawai-pegawai utama UTB, dan kakitangan dari Kedutaan Republik Islam Iran dan UTB.

Dr Saeed Khatib Zadeh dalam ucapannya, menekankan hubungan baik antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang di mana beliau turut mengumumkan kesediaan Republik Islam Iran untuk memulakan kerjasama saintifik dan akademik dengan Negara Brunei Darussalam.

“Negara Brunei Darussalam yang indah, kerana pemerintahan dan rakyat yang baik, sentiasa disebut sebagai negara yang baik dalam buku-buku sejarah Parsi,” jelasnya.

Manakala itu, PYT Homeira Rigi pula menjelaskan akan pentingnya buku-buku dan budaya membaca di kedua-dua buah negara.

Beliau turut memuji naib canselor UTB atas kerjasama beliau mengadakan acara berkenaan dan menganggap kerjasama pendidikan dan akademik sebagai faktor pertumbuhan saintifik universiti kedua-dua negara.

Menurutnya lagi, pembukaan Rak Profesor Maryam Mirzakhani ini bertepatan de-ngan permulaan minggu buku di Republik Islam Iran.

“Acara berharga ini adalah satu langkah ke arah menggalakkan kerjasama saintifik dan akademik antara kedua-dua negara di mana kerjasama akademik akan menyumbang kepada pembangunan saintifik negara,” ujarnya.

Sementara itu, Profesor Dr Hajah Zohrah pula merakamkan penghargaan di atas sumbangan yang diberikan dan dengan adanya sumbangan buku-buku berkenaan, ia merupakan tambahan yang berharga kepada pelajar dan kakitangan UTB.

“Saya percaya bahawa Rak Profesor Maryam Mirzakhani boleh menyumbang dalam usaha untuk membangunkan pelajar kami menjadi warga global yang menghargai budaya, sudut pandangan dan sensitif terhadap isu yang melibatkan komuniti global,” tambahnya.

Rak Profesor Maryam Mir-zakhani mengandungi lebih 30 buah buku yang telah diterbitkan dan mengetengahkan sumbangan cendekiawan terkemuka dalam beberapa cabang ilmu khususnya dalam bidang sains dan seni bina.

Sudut berkenaan juga merangkumi pelbagai topik mengenai sejarah, bahasa, kesusasteraan, seni dan warisan Iran.

Sumbangan buku Kedutaan Iran itu diharap dapat bertindak sebagai tambahan tersendiri kepada koleksi misi luar negara di perpustakaan itu yang semakin berkembang serta memupuk minat membaca dalam kalangan komuniti UTB sambil mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.