Kedutaan Jepun kenang jasa mendiang Dr Chin Yam Chin

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Ke-dutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam menyatakan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mendiang Dr Chin Yam Chin dalam mengeratkan hubungan antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun.

Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, menyatakan bahawa pada tahun 1960an, Dr Chin Yam Chin telah mengikuti pembelajaran Bahasa Jepun secara intensif selama setahun sebelum melanjutkan pengajian selama enam tahun di National Tokyo Medical and Dental University dalam bidang pergigian.

Kenyataan menyatakan bahawa setelah menamatkan pengajian, Dr Chin Yam Chin telah kembali ke Negara Brunei Darussalam dan berkhidmat dalam Perkhidmatan Kesihatan Brunei sehingga 1986. Walaupun telah lama meninggalkan Jepun, negara itu terus dekat di hati di mana beliau merupakan salah seorang daripada lima orang pengasas Persatuan Alumni Brunei-Jepun (BAJA).

Sebagai seorang ahli aktif persatuan berkenaan, mendiang Dr Chin Yam Chin pernah menyandang jawatan presiden persatuan itu dan terus bergiat aktif dengan persatuan berkenaan sepanjang hayatnya.

Jepun juga mengingati usaha mendiang di mana pada 2009, mendiang telah dianugerahkan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Rays atas sumbangannya mempromosikan hubungan persahabatan dan kefahaman bersama.

Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam menyampaikan ucapan takziah yang amat mendalam kepada keluarga dan rakan-rakan mendiang Dr Chin Yam Chin atas pemergiannya.

Mendiang Dr Chin Yam Chin (kiri) menerima anugerah The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Rays atas sumbangannya mempromosikan hubungan persahabatan
dan kefahaman bersama antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun. – Gambar serahan Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam