Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kedutaan Kuwait rai Hari Kebangsaan

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Kedutaan Kuwait dan rakyat Kuwait yang menetap di Brunei meraikan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-57 dan Hari Pembebasan ke-27 dengan mengadakan Majlis Resepsi yang diadakan di Hotel Empire and Country Club, Jerudong, hari ini.

    Hadir selaku wakil kerajaan Negara Brunei Darussalam di majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud serta isteri, Datin Hajah Zalina binti Haji Omar.

    Turut hadir ialah perwakilan-perwakilan daripada negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan swasta serta jemputan khas.

    Yang Berhormat Dato telah dialu-alukan oleh Duta Kuwait ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr. Fahad Mashary Al-Thafiri dan kemudian mengalu-alukan para jemputan untuk berdiri bagi nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara.

    Majlis diteruskan dengan acara memotong kek sempena sambutan ulang tahun yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti, TYT Dr. Fahad bersama-sama perwakilan dari negara-negara GCC, Duta Oman, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil bin Rashid Al Maskari, Duta Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Hisham bin Abdul Wahab bin Abdullah Zaraa serta Charge d’Affaires, Qatar, Rashid Ali R.A.Al-Akraf.

    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti menerima cenderahati daripada TYT Dr. Fahad.

    Kemudian TYT Dr. Fahad menyampaikan cenderahati kepada Yang Berhormat Dato serta isteri.

    TYT Dr. Fahad dalam ucapannya di majlis berkenaan menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan Kuwait menikmati hubungan dua hala yang erat menerusi lawatan dan pertukaran lawatan peringkat tinggi.

    Di samping itu, jelasnya lagi, kedua-dua buah negara telah berjaya untuk menubuhkan asas yang kukuh bagi kerjasama masa hadapan dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

    Pada masa yang sama, hubungan dua hala kedua-dua buah negara turut diperkukuhkan menerusi pertukaran lawatan rakyat dan penduduk serta kebudayaan kedua-dua buah negara di mana Kuwait National Council for Culture, Arts and Literature dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan mengadakan Minggu Seni dan Budaya Kuwait yang akan berlangsung di Brunei pada 12 hingga 17 Mac nanti.

    Acara itu, jelas TYT Dr. Fahad, akan memperkenalkan budaya tradisi Kuwait kepada masyarakat Brunei menerusi persembahan muzik tradisional Kuwait, pameran, bengkel dan pelbagai aktiviti.

    Majlis diteruskan dengan jemputan menikmati pelbagai jenis hidangan yang disediakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda