Thursday, January 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kedutaan Malaysia bantu rakyat yang mahu pulang

    JAKARTA, 31 MAC – Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia kini bekerjasama dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Garuda serta Persatuan Ejen Pelancongan Indonesia, bagi membantu rakyat Malaysia di Indonesia, yang berhasrat pulang ke tanah air.

    Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Zainal Abidin Bakar berkata berikutan syarikat-syarikat penerbangan mengurangkan kekerapan penerbangan mereka, kerjasama yang dilakukan itu adalah bagi memudahkan urusan rakyat Malaysia yang mahu pulang.

    Pandemik COVID-19 yang menular ke seluruh dunia juga menyebabkan kebanyakan negara kini menyekat kemasukan pelawat asing, dan meminta rakyat mereka pulang ke negara masing-masing.

    Namun syarikat-syarikat penerbangan kini terpaksa mengurangkan kekerapan penerbangan mereka berikutan penurunan mendadak jumlah penumpang.

    “Rakyat Malaysia di Indonesia yang mahu pulang, disarankan supaya mengambil peluang ini untuk pulang ke Malaysia.

    “Semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara juga perlu menjalani kuarantin selama 14 hari dan perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

    Zainal Abidin berkata berdasarkan kerjasama itu juga, Malaysia Airlines menyediakan jadual penerbangan dari Jakarta ke Kuala Lumpur pada tarikh 2, 9, 16, 23 dan 30 April ini.

    Rakyat Malaysia di Indonesia yang mahu pulang ke tanah air juga boleh membuat tempahan tiket terus melalui Malaysia Airlines. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda