Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kedutaan M’sia pastikan rakyat diberi vaksin

    JAKARTA/BANGKOK, 31 OGOS – Dua kedutaan Malaysia masing-masing di Indonesia dan Thailand hari ini mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa negara itu bagi memastikan rakyat Malaysia di kedua-dua negara itu diberikan vaksin COVID-19.

    Di Indonesia, Kuasa Usaha Sementara Adlan Mohd Shaffieq berkata rundingan dengan syarikat farmasi milik pemerintah Indonesia, PT Bio Farma Persero dan Kamar Dagang dan Industri itu diadakan di bawah  program vaksin gotong royong. 

    Program vaksin gotong royong berbeza dengan program vaksin dilaksanakan pemerintah Indonesia yang diberikan secara percuma.

    Bagi program vaksin gotong royong, kosnya perlu ditanggung individu atau majikan. 

    “Akan ada pembayaran (kos vaksin) dan kita sedang perincikan proses bagaimana hendak mendaftar, bagaimana kaedah pembayarannya untuk dua dos vaksin,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-64 di Kedutaan Malaysia di Jakarta, hari ini.

    Dalam pada itu, di Bangkok, Duta Malaysia, Datuk Jojie Samuel berkata sejak beberapa bulan lepas pihak kedutaan telah berkongsi dan mengemas kini maklumat program imunisasi yang ditawarkan kepada warga asing yang bermastautin di Thailand. 

    “Kepada rakyat Malaysia yang tinggal di luar Bangkok dan masih belum berpeluang untuk mendapatkan suntikan vaksin, pihak kedutaan akan terus bekerjasama dengan kerajaan Thailand menerusi Kementerian Luar Thailand untuk mendapatkan akses kepada program imunisasi,” katanya semasa berucap sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-64 secara maya di Kedutaan Malaysia di Bangkok.

    Kini, terdapat kira-kira 900 warga Malaysia bermastautin di Thailand yang berdaftar dengan pihak kedutaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda