Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kedutaan Republik Rakyat China rai penubuhan CPLA

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam telah meraikan Ulang Tahun ke-94 Penubuhan Tentera Pembebasan Rakyat China (CPLA) dengan majlis sambutan yang berlangsung di Dewan Sutra, Tingkat 4, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof berserta isteri, Datin Haji Kalshom binti Haji Suhaili. Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong.

    Majlis telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara, Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Atase Pertahanan Kedutaan Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Kolonel Kanan Li Jianzhong.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Kolonel Kanan Li Jianzhong antara lain mengongsikan bahawa sepanjang penubuhannya pada 1 Ogos 1927, 94 tahun yang lalu, di bawah kepimpinan Parti Komunis China (CPC), CPLA telah memberikan sumbangan berterusan untuk memperjuangkan kemerdekaan negara, pembebasan rakyat dan kemakmuran negara, untuk menjaga kedaulatan negara, keselamatan dan kepentingan pembangunan, untuk menjaga keamanan dan pembangunan dunia.

    Menurutnya, dalam era baharu, untuk memenuhi tuntutan strategik keselamatan dan pembangunan negara, CPLA dengan tegas melaksanakan misi dan tugas yang dipercayakan oleh CPC dan rakyatnya.

    Mereka berusaha untuk memberikan sokongan strategik untuk menggabungkan kepemimpinan CPC dan sistem sosialis, menjaga kedaulatan negara, perpaduan dan integriti wilayah, melindungi kepentingan luar negara China, dan mempromosikan keamanan dan pembangunan dunia.

    “Dengan perkembangan China, CPLA telah memikul tanggungjawab dan kewajipan antarabangsa yang semakin besar,” ujarnya. Majlis sambutan tersebut telah menyaksikan Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua berserta isteri, dan PYT Yu Hong berserta pasangannya, serta Kolonel Kanan Li Jianzhong bersama-sama memotong kek bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-94 Penubuhan CPLA.

    Majlis diteruskan dengan sesi bergambar ramai sebelum para jemputan menikmati jamuan malam.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan PYT Yu Hong bergambar ramai semasa majlis tersebut.
    Kolonel Kanan Li Jianzhong semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda