Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Kedutaan Persekutuan Rusia di Negara Brunei Darussalam telah menganjurkan satu majlis resepsi sempena ulang tahun ke-80 Kemenangan dalam Perang Patriotik Agung (1941–1945) di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong kelmarin.
Majlis berkenaan merupakan penghargaan kepada keberanian dan pengorbanan rakyat Kesatuan Soviet yang memainkan peranan penting dalam menewaskan Nazisme dan membebaskan Eropah serta dunia daripada ancaman fasisme.
Hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan, Jabatan Perdana Menteri, dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, selain wakil-wakil dari kor diplomatik, komuniti budaya dan akademik, serta media tempatan.
Duta Besar Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mikhail Baranov, dalam ucapan beliau menekankan kepentingan sejarah kemenangan berkenaan serta pengorbanan besar yang dicurahkan, dengan lebih 27 juta rakyat Soviet terkorban dalam perang tersebut.
“Kita mesti sentiasa mengingati pengajaran sejarah dan menentang sebarang cubaan untuk memesongkan atau menulis semula fakta sejarah demi tujuan politik,” tegas beliau.
“Pada hari ini, ketika sistem keselamatan antarabangsa menghadapi tekanan, adalah lebih penting dari sebelumnya untuk mempertahankan warisan kemenangan dan menegakkan nilai-nilai keamanan, keadilan, dan kerjasama antarabangsa.”
Sebagai sebahagian daripada majlis berkenaan, satu acara ‘Resimen Abadi’ telah diadakan dengan menampilkan gambar dan biografi ahli keluarga kakitangan kedutaan yang pernah berjuang dalam Perang Patriotik Agung, sebagai tanda penghormatan terhadap kisah-kisah peribadi keberanian mereka.
Turut diadakan ialah tayangan filem dokumentari khas mengenai sejarah Perang Patriotik Agung, memberi peluang kepada para tetamu untuk memahami konteks sejarah yang mendalam di sebalik perjuangan tersebut.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan lagu-lagu era peperangan oleh pemuzik tempatan Brunei, yang menyampaikan lagu-lagu penuh emosi yang menggamit kenangan serta menunjukkan kekuatan muzik sebagai penghubung antara generasi dan budaya.
Para tetamu juga berpeluang mengunjungi pameran foto bertema, yang memaparkan detik-detik penting semasa perang dan sumbangan besar Kesatuan Soviet kepada kemenangan pihak Bersekutu.
Kedutaan Rusia merakamkan penghargaan kepada semua tetamu yang hadir atas penyertaan dan solidariti dalam memperingati tarikh bersejarah tersebut. Kenangan terhadap Kemenangan Agung yang dicapai dengan semangat perpaduan dan keberanian terus menjadi ilham dalam usaha bersama menuju dunia yang aman dan adil.
Semua di atas: antara Suasana semasa majlis berkenaan.