Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Maha Vajiralongkorn Phra Vajiraklaochaoyuhua yang ke-73 pada 28 Julai, Kedutaan Diraja Thailand di Brunei Darussalam telah menganjurkan satu aktiviti sukarelawan di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, pagi tadi.
Acara berkenaan diketuai oleh Duta Besar Thailand ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai dan turut disertai oleh komuniti warga Thai di negara ini, rakan-rakan Thailand serta para pengedar tempatan.
Sebagai sebahagian daripada program tersebut, pelbagai makanan dan juadah tradisional Thai, produk dari Thailand serta sumbangan telah disampaikan kepada para pelajar dan kakitangan Pusat Ehsan dalam aktiviti yang berlangsung di dewan pusat berkenaan.
Acara dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Sanif bin Haji Tarip, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin selaku Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, serta ucapan daripada Duta Besar Thailand.

Majlis turut diserikan dengan persembahan oleh para pelajar dan sesi bergambar ramai, sebelum acara kemuncak iaitu penyampaian makanan oleh Duta Besar Thailand kepada para pelajar dan kakitangan.
Menurut kenyataan dari kedutaan, acara berkenaan adalah kesinambungan daripada sokongan berterusan mereka terhadap Pusat Ehsan sejak beberapa tahun lalu.
Antara aktiviti-aktiviti terdahulu termasuk menyampaikan sumbangan peralatan senaman dan sukan serta pembinaan surau sempena Hari Keputeraan Permaisuri Suthida; serta penyertaan dalam Pusat Ehsan Charity Bazaar, Talent Festival Charity Concert, Pusat Ehsan Charity Hike 3KM, acara Walk, Run, Cycle Pusat Ehsan, Pusat Ehsan Charity Gala Night, aktiviti tahunan sempena Hari Keputeraan Raja Vajiralongkorn dan sambutan Hari Keputeraan Permaisuri Sirikit.
Kedutaan dan komuniti warga Thai di Brunei menzahirkan penghargaan kerana dapat terus menyumbang kepada tujuan kebajikan dan murni yang dilaksanakan oleh Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Aktiviti-aktiviti sedemikian mencerminkan hubungan erat antara Thailand dan Brunei bukan sahaja dalam bidang diplomatik dan ekonomi, malah dalam aspek kemasyarakatan dan kebajikan rakyat kedua-dua negara.
Semua di atas: Antara suasana semasa aktiviti berkenaan.

